Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ragaman Faizal berkisah hal rumah tangga secara jenaka

Sekiranya didengar sambil lewa, seseorang boleh tersesat dalam kefahamannya dengan menyangka Faizal Tahir benar-benar 'membebel' tentang kisah peribadi melalui lagu terbaru Ragaman.

Namun penyanyi itu menjelaskan single terbabit tidaklah menyentuh pengalaman yang dilaluinya secara langsung sebaliknya bercerita tentang pahit manis dilalui pasangan suami isteri secara umum.

Menurut Faizal Ragaman disampaikan secara simbolik, atau lebih tepat ia mahu sebenarnya mengangkat wanita.

“Sebagai seorang suami dan bapa kepada enam anak, memang tidak dapat dinafikan hidup berumahtangga pasti ada fasa pasang surutnya, tetapi Ragaman ini bukanlah mengenai saya 100 peratus.

“Kisah di sebalik lagu ini diilhamkan cerita-cerita disampaikan rakan-rakan, orang di sekeliling dan juga dicedok dari filem-filem yang menyentuh isu rumahtangga.

“Lagu itu juga cuba mengajar bagaimana seseorang lelaki harus menjaga dan menghargai wanita dengan cara terbaik,” katanya.

Pemilik nama sebenar Ahmad Faizal Mohammad Tahir itu ditemui pada sidang media pelancaran Ragaman di pejabat Warner Music, Mutiara Damansara semalam.

Tak tolak kemungkinan

Menggunakan konsep berbeza daripada lagu biasa diketengahkannya sebelum ini, Faizal, 38, tampil mempertaruhkan karya yang mempunyai elemen reggae dan nuansa pop 1960-an.

Dia yang sering tampil dengan tema agak serius berkata, kali ini banyak unsur jenaka diselitkan dalam lirik dan ia menjadikan Ragaman kedengaran lebih santai dan ceria.

“Bukan feel dan mood saja berbeza, cara penyampaian pun ada kelainan tersendiri apabila ia dinyanyikan dengan gaya teaterikal,” katanya.

Ragaman dihasilkan Faizal bersama Mike Chan dan Romeo. Faizal turut menghasilkan liriknya bersama Mike Chan selain mendapat kerjasama Karim Karam dan Jaare.

Memandangkan sajian muzik seperti Ragaman tidak pernah dipersembahkan Faizal sebelum ini, dia turut diajukan persoalan mengenai keterbukannya untuk mencuba genre lain yang dirasakan sesuai dengan pasaran semasa.

“Saya tiada had sempadan untuk menghasilkan apa jua jenis lagu, asalkan ia bersesuaian dengan orang bernama Faizal Tahir.

“Saya tak menolak sekiranya suatu hari nanti tergerak hati untuk membawakan genre dangdut, I never say never,” katanya.

Lihat Komen
ADS