Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kalau orang marah polis sebab One Two Jaga Bront akan jawab

Bront Palarae memberi jaminan dia akan bertanggungjawab penuh untuk menjernihkan keadaan jika filem yang diterbitkannya, One Two Jaga, akan menyebabkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikecam.

Kata Bront filem yang mengetengahkan kisah pasukan keselamatan itu memang akan mendedahkan sisi buruk sesetengah anggotanya.

Namun kata pelakon terbabit orang ramai sepatutnya dapat memahami dalam PDRM juga ada anggota yang baik dan berintegriti walaupun sesetengah mereka terbabit dalam gejala rasuah atau salah guna kuasa.

Menurutnya, untuk dia menyiapkan One Two Jaga - yang menelan belanja RM2 juta - itu PDRM sendiri banyak memeri sokongan selain tidak lokek memberi kerjasama.

“Tidak adil untuk membiarkan PDRM menerima kesan negatif daripada One Two Jaga kerana mereka banyak membantu selain mengizinkan kami menjalankan penggambaran filem ini.

“Bukanlah setiap hari, tetapi ada masanya PDRM turut menugaskan beberapa anggota mereka untuk berada di lokasi bagi memberi panduan yang betul mengenai prosedur operasi standard (SOP) pasukan itu.

“Justeru, saya akan bertanggungjawab atas apa jua masalah sekiranya ia timbul,” katanya selepas majlis pratonton filem berkenaan di Bandar Utama, Petaling Jaya semalam.

One Two Jaga menonjolkan kisah dua anggota polis, Hassan (lakonan Rosdeen Suboh) dan Hussein (Zahiril Adzim) yang cuba menegakkan prinsip masing-masing semasa melaksanakan tugas.

Kesabaran Hussein diuji apabila cuba mempertahankan dasar amanah dalam tugasnya sewaktu menguruskan isu pendatang asing dan pekerja haram tetapi dihalang oleh Hassan yang lebih senior.

Selain Rosdeen dan Zahiril, filem yang bakal menjengah pawagam 6 September ini turut dibarisi pelakon seperti Timothy Castillo, Amerul Affendi, Iedil Putra dan Chew Kin Wah.

Filem diarahkan Nam Ron itu turut dijayakan pelakon dari Indonesia, Asmara Abigail dan Ario Bayu manakala dari Filipina, Timothy Castillo.

 

 

Sebagai karyawan, Bront, 38, yang turut menggalas watak dalam One Two Jaga berkata, dia tidak berniat untuk menjatuhkan reputasi PDRM dengan mempamerkan sisi buruk pasukan berkenaan.

Sebaliknya, kata Bront, menjadi hasratnya untuk memberi kesedaran melalui pendekatan mengangkat realiti yang kerap terjadi dalam kehidupan seharian.

Malah katanya amalan rasuah bukan khusus berlaku dalam pasukan PDRM.

“Filem ini merungkai masalah yang cuba ditangani pihak polis sendiri.

"Walaupun korupsi ada membabitkan pihak atasan, terdapat juga anggota atau pegawai yang menjalankan tugas dengan penuh integriti.

“Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak. Apa saya cuba tekankan adalah rasuah perlu dibanteras bermula dari peringkat tertinggi dalam mana-mana organisasi sekalipun,” katanya.

Diminta mengulas pendapat segelintir yang beranggapan filem yang sudah ditayangkan di festival antarabangsa seperti New York, Itali dan China itu tidak sesekali akan menjejakkan kakinya ke pawagam tempatan ekoran berdepan kekangan Lembaga Penapis Filem, Bront hanya menjawab selamba.

“Memang banyak perkara netizen suka cakap dalam Internet.

"Jika diikutkan sangat cakap mereka, esok pun boleh kiamat.

"Saya lebih memikirkan bagaimana untuk tarik penonton masuk ke panggung,” katanya.

Lihat Komen
ADS