Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Penyanyi Khai Bahar mendedahkan dia bimbang tidak dapat menunaikan hasrat peminat yang memasang angan-angan untuk menjadikannya sebagai teman hidup.

Kata Khai, walaupun menghargai setiap doa peminat, namun dia khuatir ia juga bermakna mereka menaruh harapan yang cukup tinggi.

Justeru katanya jika hasrat itu tidak tercapai, ia juga bermakna peminat terbabit jugalah yang akan menanggung kekecewaan teruk.

Menurut Khai, itu adalah perkara yang paling tidak diingininya berlaku.

“Saya takut sangat setiap kali ada peminat hantar mesej secara langsung di Instagram untuk meluahkan perasaan yang mahukan kami ada jodoh,” katanya.

Khai atau nama asalnya Muhammad Khairul Baharuddin ditemui pada majlis perasmian pembukaan restoran Teh Tarik Place di KIP Hotel di Sri Utara Business Park, Kuala Lumpur, kelmarin.

Majlis yang dirasmikan Pengarah Cuisine Inspire Sdn Bhd, Fahrulrazi Kassim itu diacarakan Haziq Hot FM selain turut dimeriahkan penyanyi Shahir Zawawi dan Ara Johari.

Berkongsi lanjut kisahnya, Khai berkata, biasanya peminat itu terdiri daripada golongan wanita, malah ada juga yang lebih berusia daripadanya.

“Seboleh-bolehnya dan selagi mampu saya memang nak menggembirakan peminat tetapi bab kahwin ni kalau tak kesampaian dan saya berjodoh dengan orang lain, apa akan jadi pada mereka nanti?” katanya.

Justeru, penyanyi yang mula dikenali menerusi aplikasi Smule itu berharap peminat dapat memahami sekiranya dia mengelak apabila mereka ajak bertemu.

“Bukan saja-saja nak mengelak, tetapi terpaksa melakukan begitu dan tolonglah jangan ada sesiapa anggap saya seorang yang sombong.

“Saya khuatir sekiranya terlalu rapat mereka akan mudah terguris jika ada waktu-waktunya tidak dapat memenuhi permintaan mereka,” katanya yang berterima kasih atas sokongan peminat selama ini.

Dalam pada itu, Khai, 24, yang dikenali melalui lagu Bayang dan Dari Jauh Sahaja memberitahu, dia ada cara tersendiri untuk mencari ketenangan apabila perlu.

Kaedahnya kata Khai, dia gemar pulang ke kampung untuk bertemu kedua orang tuanya di Perlis.

Anak keempat daripada enam beradik itu berkata, walaupun gemar menyelesaikan masalah sendiri, namun nasihat daripada ibu bapa membantu membuatkan hatinya lebih tenang.

“Kalau ada masalah saya cuba berehat dengan balik kampung dan berbual dengan mak dan ayah.

“Mereka memahami, tidak mengadili kerana tahu nakal saya macam mana. Dan ibu mana tidak sayangkan anak," katanya.

Lihat Komen
ADS