Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pereka fesyen Malaysia peraga koleksi warna-warni di New york
Diterbitkan:  Sep 12, 2018 4:19 PM
Dikemaskini: 8:24 AM

Meskipun berdepan persaingan sengit untuk memasarkan pelbagai produk tradisional, pereka fesyen Malaysia kini tertumpu ke Amerika Syarikat (AS), pasaran terbesar bagi produk fesyen dan aksesori dunia.

Ia jelas dapat dilihat menerusi minggu fesyen Couture New York yang baru berakhir, mempamerkan persembahan mengkagumkan serta kreativiti pereka fesyen Malaysia.

Menerusi persembahan yang diselitkan tarian suku kaum anjuran Lembaga Pelancongan Sarawak, pereka Malaysia memperlihatkan kehebatan kreativiti mereka dengan koleksi berwarna-warni dan inovatif, diperagakan di hadapan pakar fesyen dan pengunjung lain.

Adli Afandi, seorang pereka dari Johor Bahru, khususnya dalam gaun pengantin - dengan reka bentuk tradisional dan antarabangsa - kini cuba memasuki segmen pakaian sedia pakai.

"Saya juga menerima tempahan untuk lain-lain pakaian. Pasaran kita setakat ini Malaysia dan Singapura tetapi kini saya cuba untuk memasuki pasaran AS. Kami merancang menggunakan kemudahan dalam talian, dan bekerjasama dengan pejabat Kerajaan Malaysia di luar negara. Persatuan Wanita Bumiputera dalam Perniagaan Profesion Malaysia (Peniagawati) turut membantu saya.

"Memandangkan di New York musim panas,untuk persembahan kali ini saya menggunakan motif warna-warna menarik dan jenis kain ringan," katanya dalam temu bual dengan Bernama selepas pertunjukan fesyen tersebut.

Nancy Jullok, pemilik perniagaan fesyen dikenali P'Lo di Kota Kinabalu, Sabah, memperagakan pelbagai koleksi pakaian bermotifkan etnik yang disesuaikan dengan unsur moden.

"Saya menggunakan kain berkualiti tinggi berwarna hitam dan baldu. Saya akan meneruskan rekaan bemotifkan keunikan negeri Sabah. Saya menghasilkan pakaian pengantin Barat dan menjualnya di pasaran tempatan Malaysia. Saya juga ada menghasilkan pakaian lelaki," katanya yang menghasilkan 12 pasang gaun untuk pertunjukkan itu.

Seorang lagi pereka, Adamiya membuat kelainan ketika mepersembahkan hasil rekaanya dengan model memakai topeng sebagai daya tarikan. Antara koleksi beliau termasuk sari hitam yang elegan.

Penonton turut dipersembahkan dengan koleksi A Touch of Songket @ New York, yang menyingkap fleksibiliti songket tradisional yang dihasilkan dalam bentuk jaket.

Antara yang turut mengambil bahagian termasuk Raeesa, Hafilda Prestige, Alame Miak, Cun oleh Erma Fatima, Fiziwoo, V-Hijrah, Fazbulus, Rizman, Ruzani dan ramai lagi.

Beberapa pakar dalam industri fesyen di Amerika Syarikat memberitahu Bernama, pereka Malaysia mempunyai potensi dan kesungguhan untuk memasuki pasaran AS amat dihargai.

Penyertaan Malaysia dalam pertunjukkan fesyen itu dianjurkan Peniagawati, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, penaja dan rakan kongsi lain.

Diterjemah dan disunting oleh Ayudalita Pendek

-Bernama

Lihat Komen
ADS