Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Awie nak bawa peminat rasai kemanisan rock kapak 80-an

Keinginan untuk mengembalikan era kegemilangan muzik rock kapak yang membuak-buak menyebabkan vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie, berhasrat mengadakan jelajah ke seluruh negara bagi memberi penghargaan buat lagu-lagu era 1980-an.

Menurut Awie, agenda yang sudah lama bermain dalam kotak fikirannya itu akan dimulakan dengan Showcase Datuk Awie dan Dragon Malaya di kelab House, G Tower di Kuala Lumpur pada 26 Oktober ini.

“Sebenarnya sudah lama saya merancang untuk adakan tribute lagu-lagu era 1980-an dengan Wings, tapi ketika berucap di atas pentas tadi, tiba-tiba timbul rasa teringin mengumumkan perkara ini.

“Sudah alang-alang akan adakan persembahan, mengapa tidak diteruskan saja, kita ambil peluang yang ada ini.

“Saya biasa buat persembahan di kelab-kelab sejak zaman 1985 lagi.

"Apabila melihat kelab seperti House berani mainkan lagu-lagu Melayu, ia membuatkan saya terfikir rancangan itu perlu dipercepatkan,” katanya.

Awie ditemui pada sidang media pengumuman showcase berkenaan di G Tower, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur semalam.

Sabah pun nak pergi

Mengulas lanjut, kata Awie idea itu timbul selepas dia berasa bimbang melihat dunia rock tanah air yang diibaratkan tidak mempunyai haluan, selain kurang pelapis yang berpotensi.

“Sekarang rock scene kita kucar-kacir. Saya nak kembalikan muzik seperti Loudness, Scorpions atau Deep Purple yang melodinya indah dan menyentuh jiwa,” katanya.

Menurut pemilik nama penuh Ahmad Azhar Othman itu, selepas showcase berkenaan berakhir, barulah agenda jelajah itu akan diteruskan pula bersama Wings.

“Biasanya idea buat jelajah ni kami gunakan untuk mempromosi konsert, bagaimanapun kali ini ia akan digunakan untuk tribute lagu-lagu 80an.

“Kami akan pergi ke kelab-kelab di seluruh negara yang boleh memuatkan kapasiti dari 300 hingga 500 pengunjung termasuk yang ada di Sabah atau Labuan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai showcase bersama Dragon Malaya, Awie berkata, dia ingin melakar nostalgia tersendiri pada hari itu.

“Bukan senang nak lihat gabungan seperti ini, biasanya orang tengok saya bersama Wings.

“Apabila wujud gabungan mantap, pasti akan keluarkan sesuatu yang solid, justeru saya harap peminat tidak lepaskan peluang untuk hadir dan menyaksikan persembahan kami nanti,” katanya.

Dragon Malaya ialah kumpulan yang ditubuhkan Awie pada tahun 2000 selepas dia meninggalkan Wings buat seketika.

Pada ketika itu, Dragon Malaya turut dianggotai Kid Search, CD Silkhanaz, Yus May dan Jojet.

Kini selain Awie, Dragon Malaya dianggotai oleh Eddie Def Gab C (basis), Lan Taro (gitar), Pae Projek Pistol (dram).

Kali terakhir Dragon Malaya mengadakan persembahan adalah di konsert Wilayah International Motofest 2018, di dataran Merdeka pada Februari lalu.

Awie berkata, persembahan mereka dijangka berlangsung selama satu setengah jam dan turut menampilkan beberapa lagu Wings yang diubah suai susunan muziknya, serta lagu nyanyian semula daripada lagu asal Ozzy, Scorpions, Iron Maiden dan banyak lagi.

“Ia sesuai untuk peminat seperti kuntum dan kapak,” katanya berseloroh.

Lihat Komen
ADS