Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pada 15 September, PUSAKA mempersembahkan konsert Under the Persian Musical Sky di Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur.

Konsert ini menampilkan tiga pemuzik Parsi ulung – Kayhan Kalhor (kamancheh), Kiya Tabassian (setar), dan Ziya Tabassian (tombak).

Menonton konsert trio ini seperti menonton pembacaan puisi yang panjang.

Penonton tidak terikat dengan masa atau gubahan lagu standard yang difahami oleh masyarakat secara kebiasaannya.

Tiada konsep lagu dengan tempoh lima minit dengan verse, bridge, chorus dan sebagainya.

Menontonnya tidak tersedar yang mereka bermain tanpa henti selama 75 minit. Ya, 75 minit tanpa henti.

Bila saya bertanya pemain perkusi, Ziya Tabassian, sehari sebelumnya berapa jumlah lagu yang akan dipersembahkan, dia hanya memberitahu tidak tetap.

Segala-galanya mungkin improvisasi daripada tradisi muzik Parsi yang mereka ketengahkan.

Saya pada mulanya menjangkakan mungkin terdapat beberapa lagu dalam tempoh masa diperuntukkan untuk konsert tersebut.

Namun jangkaan awal saya ternyata tersasar.

Improvisasi merupakan satu elemen penting ddalam muzik tradisi Parsi. Ini berdasarkan Dastgah atau sistem standard muzik tradisi Parsi, seperti maqam atau sistem mode yang terdapat di dalam muzik Arab.

Sistem atau mode ini yang mereka panggil modal music adalah berlainan dengan muzik konvensional barat.

Ia sangat unik dan tersendiri dan sukar diadaptasi mengikut skala barat disebabkan terdapatnya micro tone/ quarter tone.

Saya tidak terperanjat dengan bentuk improvisasi yang dipersembahkan memandangkan beberapa rujukan tentang muzik mereka sudah diteliti.

Cuma saya kagum dengan stamina dan kreativiti mereka dalam mencorakkan persembahan yang mengagumkan itu.

Persembahan mereka sangat cemerlang.

Kayhan melontarkan bait puisi

Hanya komunikasi melalui bahasa tubuh dan lirikan mata sahaja sudah cukup untuk mereka bertiga membawa penonton menelusuri muzik Parsi yang sangat kaya nilai estetikanya.

Chemistry sesama mereka sangat terasa. Tidak ada satu detik ganjil yang memungkinkan mereka tersilap rentak atau canggung permainannya.

Mereka langsung tidak berbicara di pentas. Hanya instrumen sahaja yang melontarkan segala perasaan.

Instrumental. Hanya ada satu bahagian saya rasa Kayhan melontarkan bait puisi yang dinyanyikan.

Ketiga-tiga pemuzik ini terbukti di antara sosok terbaik dalam muzik Parsi.

Kayhan Kalhor misalnya menjadi pakar rujuk muzik Parsi sejak puluhan tahun.

Memainkan alat gesekan bernama Kamancheh, dia memperkenalkan tradisi muzik Parsi ke seluruh dunia.

Pada tahun lalu, beliau bersama Silk Road Ensemble yang ditubuhkan oleh Yo-Yo Ma memenangi album World Music terbaik di dalam Anugerah Grammy ke -59 untuk album Sing Me Home.

(Yo-Yo Ma & The Silk Road Ensemble menampilkan pemuzik terbaik tradisi/folk yang kebanyakannya dipilih di kalangan pemuzik negara sepanjang Laluan Sutera yang menghubungkan timur dan barat di zaman silam.)

Kiya Tabassian pula yang bermain setar, iaitu sejenis instrumen bertali yang dipetik (plucked instrument) sangat bergaya dengan bunyi yang nyaring dan memikat.

Setar dipetik hanya dengan tangan tanpa menggunakan plektrum/pick atau pemetik. Tidak seperti instrumen bertali Parsi yang satu lagi iaitu tar, dipetik menggunakan plektrum/pick.

Selain kamancheh, setar juga merupakan salah satu instrumen penting muzik Parsi. Antara pemainnya yang terkenal di seluruh dunia dan mungkin yang terbaik adalah Hossein Alizadeh.

Tidak ketinggalan keunggulan bunyi perkusi bernama tombak yang dimainkan oleh Ziya Tabassian.

Tombak terhasil namanya di atas dua bunyi yang dihasilkan daripada perkusi itu iaitu 'tom' dan 'bak'.

Dalam persembahan itu, jari jemari Ziya kelihatan sangat hidup dan beberapa corak paluannya kelihatan begitu rumit.

Rentak dan corak paluan yang dimainkan juga pelbagai. Ada kalanya kelihatan seperti 'twin pedal' yang dimainkan oleh pemain dram.

Dalam persembahan ini, jelas Kayhan Kalhor banyak mendominasi persembahan dengan gesekan Kamancheh beliau yang penuh perasaan; adakalanya mendayu-dayu dan sebahagiannya teknikal.

Mungkin jika boleh saya minta adalah sedikit keseimbangan atau kemuncak supaya dimasukkan penampilan solo setar dan juga tombak ke beberapa bahagian sepanjang 75 minit tersebut.

Walaupun begitu, persembahan ini bagi saya secara peribadi merupakan yang terbaik dalam beberapa siri world music yang dibawakan oleh PUSAKA sejak beberapa tahun ini.


ZULKIFLI RAMLI ialah seorang pemerhati seni dan budaya. Dia merupakan pemain gambus dan pengasas kumpulan muzik, Dewangga Sakti.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS