Meskipun Malaysia dan Indonesia hidup serumpun, terdapat perkataan dalam bahasa Malaysia yang membawa maksud berbeza daripada bahasa Indonesia hingga boleh menimbulkan kekeliruan.
Pengalaman itu dialami seorang pelakon Indonesia, Weni Panca - yang membawa watak jin kafir dalam Munafik 2 - ketika melontarkan dialog sewaktu penggambaran.
Pelakon filem Missing You dan Cukup Gue itu mengaku tersalah menuturkan dialog, sekali gus menyebabkan dia menjadi bahan ketawa.
“Ada dialog yang saya salah ucap, ternyata ada perkataan yang membawa makna berlainan. Ada perkataan yang maksudnya berbeza di sana.
“Waktu itu saya berdialog ‘Adam, aku tahu kamu membutuhkan saya’ lantas semua yang berada di sana terus ketawa,” katanya seperti dipetik Kompas.
Kata Weni secara berseloroh, rupa-rupanya perkataan “membutuhkan” itu dalam bahasa Malaysia bermaksud alat kelamin lelaki.
“Saya diminta menukar perkataan itu kerana daripada filem seram bertukar jadi komedi pula. Justeru, sedang saya berfikir, terus mendapat perkataan untuk digantikan iaitu memerlukan.
“Nasib baik ada pembantu pengarah. Sebenarnya saya sudah hafal di rumah, tetapi dialog diubah sebaik memulakan penggambaran,” katanya lagi.
Dalam filem yang mencatat rekod kutipan box office sebanyak RM40 juta pada 16 September lalu, Weni membawa peranan sebagai wanita misteri atau suara bisikan yang bertujuan menyesatkan Ustaz Adam, watak dilakonkan Syamsul Yusof.
Ustaz Adam cuba hidup normal selepas tragedi menimpa Maria (Nabila Huda). Namun, masih dihantui insiden itu.
Sementara itu, seorang wanita yang tinggal di kampung seberang meminta bantuan untuk mengubati ayahnya yang didakwa disihir oleh Abu Ja (Nasir Bilal Khan).
Munafik 2 mula menjengah pawagam Indonesia bermula semalam dan masih ditayangkan di Malaysia sejak 30 Ogos lalu.
