Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

ULASAN BUKU | Jika anda mengharapkan mahu tahu tentang hal-hal Datuk Sarimah Ahmad, buku ini bukanlah tempatnya walaupun wajah seniwati terbilang itu menjadi penghias muka depan.

Pada buku Mak, Inilah Kisahku... anda tidak akan dihidangkan dengan cerita-cerita seperti yang selalu ada di luar sana. Entah betul entahkan tidak.

Sarimah ialah watak yang gemilang sebagai pelakon. Bakat dan kemampuannya membawakan watak yang diberi dilengkapi dengan kejelitaan.

Namun itu bukanlah fokus buku ini yang ditulis oleh Shahray Zulkifli.

Siapakah Shahray? Dia ialah anak Sarimah. Justeru buku yang dihidangkan ialah kisah Sarimah dengan sudut pandang dari mata Shahray itulah.

Cuma ia bukan tentang seorang perempuan yang pernah dikenali dengan watak Marjina itu. Ia lebih kepada hidup Shahray sendiri, seorang peguam yang sedang membina kerjaya di Brunei.

Kerjaya Shahray itu juga menyumbang sedikit sebanyak kepada lahirnya buku Mak, Inilah Kisahku... Di mahkamah dia berdepan dengan pelbagai kes melibatkan pasangan suami isteri atau hal-hal seputar rumah tangga.

Ia agak signifikan kerana pada usia awal Shahray sendiri dia melihat bagaimana sebuah rumah tangga gagal bertahan apabila ibu dan ayahnya berpisah.

Lihat dunia lebih awal

Dalam buku ini ada diceritakan beberapa peristiwa yang membekas di hati Shahray dan sepatutnya dapat dihayati dengan mudah oleh pembaca.

Misalnya keperitan hidup dan membesar tanpa ibu di sisi dan pada masa sama bapa pula sibuk dengan urusan lain di luar rumah.

Salah satu cerita yang menyentuh perasaan ialah bagaimana Shahray yang dilanda kerinduan menebal kepada Sarimah kemudian berpeluang berjumpa ibunya itu untuk tempoh yang singkat.

Kejadian dia menyimpan ketupat palas pada suatu raya dan sengaja tidak mandi untuk membolehkan bau ibunya melekat lebih lama pada badan adalah salah satu kisah yang boleh membuat pembaca mengalirkan air mata.

Malah semasa majlis pelancaran Mak, Inilah Kisahku... di Danau Kota baru-baru ini Shahray sendiri terpaksa bergelut dengan perasaannya semasa menceritakan kisah berkenaan.

Mak, Inilah Kisahku... juga hadir untuk cuba memberi pencerahan kepada pelbagai kisah tentang Sarimah yang keluar daripada mulut orang lain.

"Kebanyakan cerita itu bukan betul pun," kata Shahray.

Satu lagi cerita yang unik terkandung dalam buku ini ialah bagaimana Shahray ditakdirkan melihat dunia lebih awal daripada sepatutnya.

Dia lahir hanya selepas berada dalam rahim Sarimah selama tujuh bulan. Dan ketika dilahirkan, dia keluar dalam keadaan songsang. Kakinya lebih awal menjenguk berbanding kepala.

Berdasarkan keadaan semasa kelahiran sedemikian sangat berisiko dan kebanyakan bayi meninggal dunia.

Tetapi tidak Shahray. Empat puluh sembilan tahun selepas dilahirkan songsang dia melihat buku pertamanya, Mak, Inilah Kisahku... dilancarkan.

"Saya harap buku ini menjadi motivasi kepada orang ramai atau pembaca yang berdepan dengan dugaan hidup.

"Pada setiap cubaan akan ada jalan keluar dan mereka boleh bangkit semula selepas terjatuh," katanya kepada Malaysiakini.

Wanita tabah

Turut ditekankan - walaupun secara tidak langsung - ialah bagaimana seseorang itu boleh kekal tabah dan berlapang dada walaupun diuji dengan pelbagai kesukaran.

"Watak mak dalam buku ini ialah seorang wanita yang tabah dan tidak crack walaupun berada di bawah tekanan yang hebat," katanya.

Shahray juga berkisah bagaimana sikap Sarimah berdepan dengan cerita tentang dirinya yang kadang-kadang keterlaluan sehingga melukakan.

Namun Sarimah ada cara tersendiri untuk menghadapinya. Bagaimana? Buku ini ada ceritanya.

Bagaimanapun buku ini masih ada kelemahan di sana sini. Misalnya pemilihan bahasa yang kurang kemas dan kadang-kadang dirasakan tidak wajar atau tidak serius.

Penceritaan juga kurang konsisten walaupun dapat difahami Shahray mahu bercerita secara bersahaja melalui buku sulungnya itu.

Jika Shahray mahu menghasilkan buku kedua, dia perlu lebih cerewet membuat pilihan perkataan dan cara penyampaian. Penguasaan bahasa yang sesuai untuk naskhah yang serius juga perlu ditingkatkan.

Dan pada akhirnya Mak, Inilah Kisahku... ini sekali lagi mengingatkan saya bahawa tidak pernah mudah untuk menyunting sesebuah manuskrip menjadi produk yang memuaskan.

Untuk rekod buku Mak, Inilah Kisahku... itu dilancarkan bersekali dengan sebuah lagi judul terbitan Pukat Pikat Press, Potret - Warkah Dari Hokkaido tulisan Syauqie MK.

Ia adalah naskhah bergenre thriller yang mengetengahkan watak-watak sebenar yang difiksyenkan.

  • Judul: Mak, Inilah Kisahku...
  • Penulis: Shahray Zulkifli
  • Penerbit: Pukat Pikat Press (2018)
  • Harga: RM25
  • Tebal: 155 muka surat

AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS