Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jalil Hamid kecewa dianggap tak bersyukur
Diterbitkan:  Oct 11, 2018 3:28 PM
Dikemaskini: 9:42 AM

Pelakon Jalil Hamid baru-baru ini meluahkan rasa kesal apabila terdapat produksi hanya menawarkan bayaran RM1,500 bagi menggalas watak utama dalam sebuah drama.

Namun, menurut pelakon veteran itu, terdapat segelintir pihak menganggapnya sebagai tidak bersyukur dengan rezeki yang diberikan.

Jalil yang membidas perkara itu berkata, tugas lakonan bukan suatu perkara mudah dan oleh sebab itu pelakon harus dibayar harga setimpal dengan usaha yang mereka curahkan.

“Aku hanya meluahkan rasa yang dialami oleh ramai dalam kalangan pengiat bidang seni ini. Ada yang kata aku tak bersyukur dengan jumlah yang besar tu berbanding RM80 (diperoleh) orang lain.

“Untuk pengetahuan, satu kerja ini bukan sekadar kerja borong saja. Hasil kerja ni keluar mesti kena bagus, berkualiti. Jadi aku berharap kerja dibayar setimpal dan berbaloi.

“Kerja penggambaran bukan sekadar 8 jam, kadang sampai 18 jam. Lagipun bukan tiap hari aku dapat tawaran kerja. Kadang nasib sebulan ada sekali. Tu pun peranan runcit, runcit,” katanya pada hantaran Facebook yang dimuat naik semalam.

Lebih menyedihkan katanya, dengan faktor usia sekarang tawaran berlakon sudah tidak serancak dulu lebih-lebih lagi untuk membintangi sesebuah drama.

Situasi itu katanya menyukarkan dirinya selaku ketua keluarga.

“Biasanya untuk pelakon utama veteran ni adalah dua atau tiga kali setahun. Kadang-kadang tak ada. Aku pun berkeluarga. Perlu hidup sederhana macam orang lain. Berjimat? Bukit kalau hari, hari ditajak pun habis,” katanya.

Pada 9 Oktober lalu, Jalil, 61, memuat naik status - juga menggunakan platform sama - berkata nilainya sejak menjadi pelakon veteran sudah jatuh.

Perkongsian itu mendapat pelbagai respon daripada netizen.

“Aku rasa terhina betul apabila ada produksi tawarkan peranan utama 12 babak daripada 16 babak. Penggambaran dua hari harga yang ditawarkan RM1,500.

“Terasa penat dan sia sia pulak mengumpul tujuh, layan anugerah dan Anugerah Pelakon Terbaik dan popular selama hampir 40 tahun,” katanya.

Jalil tidak menolak faktor membuatkan nilai dirinya kini rendah adalah kerana tidak menepati “kriteria” dikehendaki dalam bidang yang diceburi.

“Barangkali kerana aku tak ada bergelar Datuk atau Tan Sri atau kerana tidak tampan atau kacak,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS