Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Rektor Aswara diarah bayar RM70,000 pada bekas pensyarah

Seorang pegawai kanan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) diarah membayar ganti rugi lebih RM80,000 selepas disaman oleh salah seorang pegawainya di mahkamah.

Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Prof Datuk Dr Mohd Rizon Juhari diarahkan membayar ganti rugi sebanyak RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dalam kes saman sivil difailkan A'eshah Ahmad @ A Tambi yang merupakan bekas pekerjanya.

Hakim Mahkamah Sesyen N Kanageswari pada 27 Sept membuat keputusan tersebut selepas membenarkan tuntutan A'eshah selaku plaintif.

Beliau menetapkan Mohd Rizon perlu membayar ganti rugi am berjumlah RM50,000, ganti rugi teladan RM20,000. Dia juga diperintah membayar kos guaman sebanyak RM15,000.

Dalam pernyataan tuntutan bertarikh 30 Mac, A'eshah mendakwa defendan beberapa kali membuat kenyataan berunsur gangguan atau komen seksual.

Defendan juga didakwa membuat kenyataan atau tindakan bersifat tidak benar dan fitnah bertujuan merendah-rendahkan maruah dan reputasi plaintif serta memburuk-burukkan namanya dalam satu mesyuarat bersama kakitangan Aswara.

A'eshah yang sebelum itu dilantik memegang jawatan pengarah dan pegawai penyelia di Bahagian Perhubungan Korporat dan Antarabangsa Aswara pada 1 Oktober 2016 sepatutnya tamat kontrak pada 30 Sept 2017.

Bagaimanapun dia mendakwa kontraknya dipendekkan tanpa alasan munasabah dan ditamatkan perkhidmatannya pada 14 April 2017.

Nafi bersifat fitnah

Dia juga mendakwa diturunkan pangkat daripada pengarah kepada pensyarah dan pegawai kebudayaan.

Tempoh perkhidmatan plaintif sebagai pensyarah dan pegawai kebudayaan menurut kontrak bertarikh 30 Mac 2017 bermula pada 16 April 2017 dan sepatutnya tamat pada 15 April 2018.

Sekali lagi kontrak perkhidmatan plaintif ditamatkan lebih awal melalui satu notis bertarikh 26 Disember 2017 yang didakwa tanpa dikemukakan sebarang alasan bagi penamatan tersebut.

Susulan tindakan Mohd Rizon, A'eshah membuat tiga laporan berasingan di Balai Polis Dang Wangi masing-masing bertarikh 18 Disember 2017, 26 Disember 2017 dan 18 Januari 2018.

Sementara itu peguam Mohd Rizon berhujah keterangan daripada saksi dan defendan mencukupi untuk membuktikan kenyataan dibuat bukan fitnah dan berunsur gangguan seksual.

Sebagai rektor Aswara, katanya Mohd Rizon mempunyai tanggungjawab dan kuasa untuk menegur segala salah laku serta masalah kakitangan serta pegawai di institusi itu.

Katanya plaintif gagal membuktikan kepada mahkamah bahawa Mohd Rizon membuat kenyataan berunsur gangguan seksual dan fitnah terhadap plaintif hingga mendatangkan kesan negatif.

Lihat Komen
ADS