Paling Popular
Terkini

Ketika tiba di rumahnya, Fudzail sedang menikmati makan tengah hari. Dia senyum sebaik melihat ketibaan penulis, dan bangkit berdiri untuk mempelawa duduk di sofa di ruang tamu: dekat sahaja dengan dapur.

Tetapi untuknya berjalan sejauh itu sudah tidak semudah dahulu. Dia berjalan perlahan dengan bantuan tongkat, sambil melemparkan senyuman.

"Saya balik ke Malaysia untuk jaga emak saya, patah kaki. Saya jaga dia dua minggu, tetapi sepanjang dua minggu itu saya tak cukup tidur.

"Malam, tak tidur. Saya jadi sakit. Tapi saya tak tahu saya sakit," ceritanya perlahan-lahan.

Sesekali Fudzail kelihatan keliru dan bertanyakan isterinya yang setia menemani di sebelah.

Tetapi dia tidak putus asa bercerita.

Fudzail, atau nama penuhnya Mohd Fudzail Mohd Nor, penulis yang pernah memenangi tujuh Hadiah Sastera Perdana dan sembilan Hadiah Sastera Utusan Melayu.

Dia juga aktif menulis di majalah-majalah tempatan dan juga merupakan kolumnis Malaysiakini.

Fudzail penulis versatil yang menyentuh banyak cabang berbeza dalam penulisannya. Mungkin kerana lama berkelana di negara orang, tulisannya menyajikan sudut pandang melalui pengalaman hidup sendiri.

Bagi yang mengikuti tulisannya di ruangan Kolum Malaysiakini, pasti tertanya-tanya ke mana menghilangnya Fudzail setelah artikel terakhirnya, 'Obsesi dan kongkongan 100 hari' disiarkan pada 31 Julai lalu.

Kena serangan stroke

Ketika menjaga ibunya yang sakit kira-kira dua bulan lepas, Fudzail mengalami serangan stroke sehingga menyebabkannya mengalami kesukaran bergerak dan bercakap. Malah ingatannya turut merosot teruk.

"Kalau datang dua bulan lepas, lagi teruk. Tak boleh cakap. Tak tahu apa. Hari pertama ramai orang datang melawat, bersilih ganti, tapi saya tak sedar.

"Sahabat-sahabat datang, bercerita tentang kenangan lepas. Lama-lama, akhirnya 40 peratus boleh ingat balik. Tapi ayat Quran tak ingat, kecuali al-Fatihah. Sembahyang pun tak ingat," terangnya.

Mula berkecimpung dalam dunia penulisan eceran sejak 1984 semasa dia belajar di Universiti of Waikato Hamilton, New Zealand, Fudzail boleh dikira sebagai penulis 'otai'.

Penulis agak terkedu apabila mendengar cerita Fudzail bahawa beliau hanya mengambil masa paling lama tiga jam untuk menyiapkan satu-satu cerpen dan hanya mengulang baca paling banyak dua kali sahaja. Ini bukan biasa-biasa.

Ketika membelek koleksi keratan akhbar dan majalah lama yang tersisip kemas di dalam fail (dikumpul oleh isterinya), saya terbaca resume lamanya yang turut disimpan rapi.

Tercatat Cobol, Prolog, Pascal, Fortran, Basic, Oracle, Dbase dan Modula sebagai bahasa pengaturcaraan yang dikuasainya. Biarpun jargon-jargon itu tidak penulis fahami, ia tetap menghadirkan rasa kagum di dalam diri.

Rupa-rupanya, lelaki yang bijak mencoret bahasa cerita di atas kertas itu, juga hebat mengetuk bahasa pengaturcaraan di papan kekunci komputer.

Fudzail ialah graduan sains sosial (sains komputer dan matematik).

Pernah bermastautin di UAE

Bercerita lebih lanjut, Fudzail pernah bekerja sebagai pengurus teknologi maklumat di syarikat-syarikat besar di Dubai seperti Mehboob dan Nakheel mengendalikan projek-projek mega, antaranya projek Palm Islands.

Fudzail bermastautin di UAE sejak tahun 2000 dan juga merupakan usahawan berjaya di sana.

Jadi, tidak menghairankan apabila Fudzail memberitahu, antara 16 hadiah sastera yang dimenanginya di Malaysia, hanya satu sahaja yang sempat diterimanya dengan tangan sendiri.

"Itulah perkara yang saya kesalkan. Hadiah (sastera) itu, hanya sekali saya terima sendiri. Bila dapat sakit begini, makin terasa menyesal betul," katanya.

Melihat koleksi karyanya yang bertimbun, terdetik soalan tentang apa lagi yang hendak dia ceritakan kepada pembaca? Dan apakah dia akan berhenti menulis?

"Tidak. Saya tak boleh terima. Menulis sudah menjadi sebahagian daripada saya.

"Yang masih belum saya ceritakan, adalah tentang diri saya, cerita perjalanan hidup saya. Saya belum pernah cerita pada orang," tambahnya.

"Tunggu dan lihat," tiba-tiba isterinya mencelah.

Fahamlah penulis, ada buku baru sedang dalam pembikinan. Malah Fudzail sempat menunjukkan laptop baru yang diberikan anaknya yang akan digunakannya untuk menulis nanti.

"Sepanjang dua bulan ini saya berehat seketika, mempersoalkan siapa diri saya sebenarnya," ucapannya terhenti seketika sebelum menyambung kata-kata.

"Masih hilang," ujar Fudzail.

Tetapi di mata saya, Fudzail sebenarnya sudah mula menjumpai dirinya semula. Dia sedang pulih. Mungkin tidak lama lagi, pembaca akan dapat kembali menghadam tulisan Fudzail seperti 'China di Arabia', 'Tiada lagi hujan emas' dan 'Murtad dari Melayu'?

Yang pasti, tidak ada 'putus asa' dalam kosa kata seorang Fudzail, penulis yang sudah berdekad menghambakan diri dalam bidang penulisan negara.

Fudzail akan terus menulis.

Lihat Komen
ADS