Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Joko Anwar rela ke kubur 'diseksa' Gundala
Diterbitkan:  Oct 29, 2018 2:10 PM
Dikemaskini: 7:44 AM

Pengarah terkenal, Joko Anwar, memang bukan asing menjadi penulis skrip namun dia berdepan cabaran getir semasa menyiapkan karya terbaru dan unik iaitu kisah adiwira versi Indonesia, Gundala.

Joko mengakui dia berdepan cabaran sangat sukar untuk menyiapkan Gundala dalam usahanya tampil dengan sebuah karya bermutu.

“Karya ini paling susah untuk dihasilkan kerana pada masa sama saya perlu bina jalan penceritaan yang kuat,” katanya pada sidang media Comic Con di Jakarta semalam.

Gundala dihasilkan daripada komik Gundala Putra Petir yang popular di Indonesia sejak ia diterbitkan 1969 dan berlanjutan hingga 1982.

Karakter pahlawan itu dihasilkan oleh tokoh komik Harya Suryaminata atau lebih mesra disapa Hasmi yang juga biasa membuat kemunculan sebagai pelakon undangan dalam sinetron ditulisnya sendiri.

Hasmi meninggal dunia pada 6 November 2016.

Sesuaikan dengan masa

Gundala digambarkan sebagai watak berpakaian ungu dan dihiasi sayap pada bahagian kedua-dua telinga.

Pahlawan itu mengalahkan musuh-musuh dengan kekuatan istimewa diperoleh dari sumber petir.

Diterbitkan sebanyak 23 naskhah, kisah rakyat Gundala dekat dan menjadi kebanggaan para penggemarnya di Indonesia.

Pada sidang media itu, hanya tiga nama pelakon Indonesia yang menjayakan Gundala didedahkan iaitu Abimana Aryasatya (watak utama), Tara Basro dan Muzakki.

Ia kemudian dilengkapkan dengan pelakon Malaysia, Bront Palarae.

Joko Anwar

Untuk rekod, Joko antara seorang daripada pengarah terbaik Indonesia yang sinonim dengan karya-karya seram dan thriller seperti Pengabdi Setan, Kala dan Pintu Terlarang.

Menurut Joko, kesukaran timbul apabila dia perlu menyesuaikan jalan cerita ditulis mengikut peredaran zaman.

Menurutnya, tempat-tempat jauh dari belengu bising seperti kubur dan muzium dipilih bagi menumpukan sepenuh perhatian terhadap karya yang diusahakan.

“Sangat susah, sampai perlu menulis dalam keadaan yang amat tenang. Kalau tidak di muzium, saya menulis di tapak perkuburan.

"Akhirnya, Gundala berjaya disiapkan selepas tempoh empat bulan,” katanya seperti dipetik kompas.com.

Pengarah yang pernah memenangi anugerah khas juri di Festival Filem New York Asia 2017 melalui filem Kala itu berkata, konsentrasi sama diperlukan sewaktu dia menulis Pengabdi Setan.

“Yang pertama ceritanya harus kuat, kepekaan harus disesuaikan dengan gaya hidup masyarakat sekarang.

“Kalau tulis ikut zaman dulu, tidak sesuai, justeru ia harus diubah suai. Itu juga yang dilakukan pada filem terdahulu, Pengabdi Setan hingga penonton dapat mengaitkan diri mereka dengan jalan cerita,” katanya.

Lihat Komen
ADS