Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Siti Saleha enggan 'terpalit' kisah lesbian lagi

Semasa diberi kepercayaan untuk menggalas watak sebagai seorang lesbian lima tahun lalu, Siti Saleha terus menyahut cabaran itu dengan hati terbuka tanpa berfikir panjang.

Siti Saleha berkata, tugas membawa karakter wanita yang mempunyai naluri seksual terhadap kaum sejenis memang mencabar terutama apabila dia sendiri pernah melalui detik-detik cemas berdepan golongan itu.

Kata pelakon itu, kejadian dialami ketika dia masih berada di bangku sekolah.

“Saya belajar di sekolah yang terdiri daripada perempuan semuanya. Memang selalu dikacau golongan lesbian.

“Memang saya sangat takut bila kena ganggu dengan mereka,” katanya ketika ditemui pada sidang pratonton filem terbaru lakonannya Tujuh di Mutiara Damansara, Petaling Jaya kelmarin.

Tujuh menampilkan Siti Saleha sebagai Tina, seorang perempuan yang menyimpan perasaan terhadap Yasmin, watak dilakonkan Cristina Suzanne.

 

 

Sebagai seorang anak seni, Siti Saleha, 28, menjelaskan, sememangnya matlamatnya yang utama adalah untuk mempelbagaikan lagi karakter yang dibawa.

Bagaimanapun, aktres berdarah campur Melayu-Inggeris itu berkata, selepas selesai menjalani penggambaran, dia akhirnya mengaku berubah fikiran.

Menurut pelakon drama popular 7 Hari Mencintaiku itu, pengalaman digoda lesbian ketika zaman persekolahan turut mempengaruhi keputusannya.

“Tidak! Saya tidak akan mengambil lagi watak seorang lesbian. Ini adalah yang pertama dan terakhir,” katanya dalam nada tegas.

Tujuh, karya yang mendapat arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaluddin dijadual menjengah pawagam tempatan bermula 8 November ini.

Karya itu adalah yang pertama diarahkan Raja Mukhriz sebelum Ophilia. Selain duduk di bangku pengarah, Raja Mukhriz pada kebanyakan masanya melakukan tugas sebagai pengarah sinematografi.

Tujuh turut dijayakan Faizal Hussein, Riz Amin, Aeril Zafrel, Cristina Suzanne, Pekin Ibrahim, Deede Nash, Siti Saleha, Marsha Milan dan Wan Hanafi Su.

 

 

Karya seram dan cemas menggunakan latar belakang era 1970-an itu menceritakan kisah tragik tujuh sahabat yang mati secara misteri satu persatu selepas kematian wanita dari keturunan Orang Asli, Suri (Marsha).

Sementara itu, mengulas keenggananya untuk menjayakan watak homoseksual, Siti Saleha berkata ia mempunyai kaitan dengan statusnya yang kini bergelar seorang isteri.

Menurutnya, dia terpaksa menolak sekiranya sekiranya tawaran seperti itu muncul lagi bagi menghormati perasaan suami, Ahmad Lutfi Azhar.

“Ia lima tahun lalu, masa dulu saya tak kisah kalau watak itu terima pelbagai kritikan, tetapi kini sudah ada suami. Saya kena jaga perasaan dia.

“Memang suami ada persoalkan kenapa terima watak yang suka perempuan, tetapi bersyukur kerana dia berfikiran terbuka dan memahami penjelasan semua dilakukan itu adalah atas dasar bekerja,” katanya.

Lihat Komen
ADS