Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Perang dua lagu rap hangatkan suasana politik Thailand
Diterbitkan:  Nov 7, 2018 7:32 AM
Dikemaskini: Nov 7, 2018 4:03 AM

GLOBAL | Perang dua lagu rap yang dinyanyikan oleh dua kumpulan berbeza fahaman politik, iaitu antikerajaan dan propemerintah, telah menghangatkan lagi suasana politik Thailand, yang hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi sebelum rakyat negara ini keluar mengundi pada 24 Feb 2019.

Lagu yang bertajuk Prathet Ku Mee atau What My Country's Got, oleh kumpulan Rap Against Dictatorship (RAD) menyasarkan kerajaan tentera sekarang dan isu panas yang membelenggu Negara Gajah Putih ini seperti wabak rasuah, ketidakadilan dan persekitaran politik yang bersifat memecahbelahkan dan keganasan.

Sejak lagu itu disiarkan pada 22 Okt lepas, klip muzik videonya telah ditonton 28 juta pengunjung di platform perkongsian video paling popular YouTube, serta turut menguasai carta muzik dan senarai lagu popular Thailand, dan ini menimbulkan rasa cemas kepada pemerintah.

Para pegawai memandang serius lirik lagu itu, apabila Timbalan Ketua Polis Thailand Jen Srivara Rangsibragmanakul yang menganggapnya sebagai menjengkelkan, mempersoalkan sama ada lagu popular itu melanggar undang-undang dan menghasut kekacauan, walaupun dia kemudiannya akur.

“Lirik lagu itu tidak cukup kukuh untuk kami jalankan pendakwaan, jadi orang ramai dibenar untuk mendengar, menyanyi dan berkongsi lagu itu,” kata Srivara, tambahan pula lirik lagu itu yang bertemakan politik, telah berjaya menarik ramai peminat dan penggemar lagu rap itu.

Kontroversi lagu rap itu sebaliknya adalah muzik dan hiburan bagi halwa telinga kumpulan penentang kerajaan tentera di negara ini, yang memuji keberanian kumpulan penyanyi rap ini.

Antara lirik lagu rap ini yang menggusarkan pegawai kerajaan adalah: My country points a gun at your throat. It claims to have freedom but gives no right to choose.

My country's got a black panther shot by a rifle. My country preaches morals but has a crime rate higher than the Eiffel (Tower), dan It is a country in which judges live in a resort built inside a national park dan it is a country in which the city centre becomes a killing field.

Video muzik yang berdurasi lima minit ini turut menitipkan pesanan di akhir video ini, Divide-and-rule is a dictator's best trick. All People Unite.

Muzik video dengan tema visual hitam dan putih ini dibarisi 10 rapper juga turut menyentuh isu sensitif apabila turut menyelitkan babak pembunuhan di hadapan Universiti Thammasat, Bangkok.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS