Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

ULASAN | Empat atau lima hari lepas saya membayangkan pada 16 November saya sedang sibuk di ibu kota. 

Mana tidaknya, pada siang hari saya perlu menghadiri sebuah kongres parti pemerintah setelah saya berjaya memenangi calon ketua angkatan muda pada pemilihan yang telah diadakan baru-baru ini.

Pada sebelah malamnya pula saya akan menghadiri sebuah himpunan penulis bertempat di sebuah universiti di Bangi atas kapisiti sebagai pendeklamasi. 

Khabarnya majlis pada malam itu juga akan dihadiri oleh seorang menteri.

Namun dua tiga hari lepas setelah menerima surat jemputan dan setelah memberi kata setuju untuk ke acara tersebut, fikiran saya tiba-tiba berubah. Tidak ada apa yang begitu menarik cuma sekadar hal-hal seputar tanah air.

Pertama apabila teringat kembali kenyataan Tun Daim Zainuddin berkaitan sastera baru-baru. 

Maka barangkali ada benarnya bahawa sastera di mata orang ekonomi ia bukanlah satu bahan komoditi, tidak begitu memberikan pulangan untung yang berlipat kepada pertumbuhan ekonomi negara. 


Baca: Faisal Tehrani tolak undangan himpunan penulis


Kalau tidak masakan saja ia dipandang enteng ketika dalam perbentangan belanjawan baru-baru ini oleh Menteri Kewangan kita Lim Guan Eng.

Kedua, saya merasakan enggan terjerumus dalam permainan kesusasteraan sekelompok sasterawan ampu. 

Ya, sekelompok sasterawan ampu ini seperti lidah yang tidak bertulang atau seperti rimbunan ilalang di padang lapang dan ia boleh mengarah ke mana angin yang meniupnya. 

Ketika seorang penasihat kerajaan membuat kenyataan yang agak kurang senang terhadap sastera, kelompok ini seakan tidak pernah wujud untuk menangkis kembali kenyataan penasihat tersebut.

Tapi tidak mengapa, sekelompok ini tidaklah saya mensasarkan kepada tubuh badan seseorang individu cuma ia akan cepat terasa jika individu tersebut berada dalam kelompok tersebut.

Ketiga ia tidak lebih sekadar boikot kecil saya walaupun saya sudah menjelaskan secara peribadi melalui panggilan telefon ketika dihubungi oleh bekas CEO ITBM sejurus saya menghantar pesanan melalui aplikasi Whats Apps kepada wakil penganjur bahawa saya telah menarik diri daripada acara tersebut. 

Saya menegaskan kepadanya bahawa saya tidak ada masalah secara personal dengan bekas CEO ITBM dan ITBM itu sendiri.

Cuma sebagai seorang penulis (picisan) yang pernah terlibat dalam sebuah acara puisi peringkat Asean beberapa tahun lalu, saya merasakan saya harus berteguh dengan apa yang saya percaya dan berprinsip seutuhnya bahawa sekecil mana atau waima sebenar mana gelaran penulis itu. Layanan baik dan setimpal harus diberikan terutama berkaitan bayaran.

Saya kira tidak kepada saya bahkan ramai lagi rakan-rakan penulis yang pernah mengalami nasib yang sama. Atas nama seni, sastera dan budaya; para penulis picisan sering diambil mudah tentang sebuah penghargaan.

Jadi, ini adalah sebahagian protes kecil saya dalam dunia sastera kita yang besar. 

Ya, pada akhirnya hidup ini adalah pengakuan kepada sebuah kenyataan dan ia harus realistik. Prinsip hanyalah sebuah romantis di lengang senja seperti melihat matahari terbenam.

Kepada kawan-kawan yang masih bersikap positif, teruskan hasrat anda dan selamat berhimpun!


ARAFAT HAMBALI adalah penulis, petani dan peniaga nasi lemak.

Rencana ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS