Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Suara 'berkarat' Wan Salmah masih ditagih peminat

Wan Salmah Wan Sulaiman, 74, masih diminta untuk menyanyi meskipun beliau mengakui suaranya makin ‘berkarat’ dimamah usia.

Suara penyanyi asal lagu Ulek Mayang pada 1960-an itu akan kedengaran apabila ada majlis keraian kerana ada yang berpendapat ‘suara berkarat’ itu mahal harganya, malah beliau juga sinonim dengan tarian gamelan serta lakonan.

Pembabitan awalnya bermula apabila menyertai Persatuan Belia Kelab Darul Ehsan pada tahun 60-an dan pernah membuat persembahan di pentas antarabangsa termasuk di Eropah serta pernah mewakili Malaysa di Ninth ASEAN Festival di Hong Kong pada 1984, selain pernah terlibat dalam acara dwitahunan World Gamelan Festival sebanyak lima kali sejak 2008.

Wan Salmah yang baru sahaja menerima Anugerah Khas Tokoh Gamelan Tradisional Melayu daripada kerajaan negeri Terengganu berkata beliau dan rakan-rakan juga pernah menerima jemputan menari gamelan di Istana Maziah ketika pemerintahan Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sekitar 1960-an dan di kediaman Menteri Besar.

Menceritakan pembabitan awal dalam seni kebudayaan, beliau berkata aktiviti seni di Terengganu sentiasa aktif sejak dahulu dan mendapat perhatian banyak pihak termasuk kerajaan negeri, hingga tertubuhnya Kumpulan Pemuzik dan Penari Tetap Negeri Terengganu (Suktra) pada 1974.

“Saya bukanlah penari tetap Terengganu kerana pada pembabitan awal hanya sebagai hobi kemudiannya memberi komitmen sepenuh hati kerana minat dan sayangkan seni warisan,” kata bekas penolong pegawai tadbir Jabatan Kesihatan Terengganu itu.

“Penari dan penyanyi sekarang perlu meletakkan disiplin sebagai pegangan utama jika mahu memastikan kelangsungan seni ini, bukan kerana gaji diterima. Lagu tradisional bukan sekadar hiburan biasa tetapi ia mempunyai maksud tentang kemasyarakatan, budaya dan nasihat yang baik,” katanya yang mempunyai tujuh anak, 18 cucu dan seorang cicit.

Tambahnya pada 60-an, golongan belia berpeluang mengadakan persembahan di Padang Maziah yang kini dikenali sebagai Dataran Syahbandar, termasuk wayang kulit, rodat dan mak yong.

Wan Salmah yang lebih gemar membahasakan dirinya sebagai ‘mami’ berkata bagi memastikan kelangsungan ulek mayang dan gamelan, beliau kerap dijemput untuk mengajar tarian, antaranya di Muzium Pekan, Pahang dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

“Ramai penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) menjadikan mami sebagai rujukan untuk menyiapkan tesis berkenaan gamelan dan ulek mayang.

“Mami tiada harta yang banyak untuk dicurah kepada masyarakat tetapi mempunyai ilmu berdasarkan pengalaman lalu dan ia boleh dijadikan panduan untuk generasi akan datang,” katanya.

Antara anugerah lain yang pernah diterima Wan Salmah ialah tokoh seni budaya negeri Terengganu 2016 dan seorang daripada penerima anugerah khas juri tokoh seni Terengganu 1993.

- Bernama

Lihat Komen
ADS