Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Polis Evo 2: Bukan calang-calang orang di LPF, kata pengkarya

Filem Polis Evo 2 ialah naskah yang mengangkat kisah kepolisan dan hanya akan mula ditayangkan di pawagam pada 22 Nov ini.

Bagaimanapun, filem terbitan Astro Shaw itu mencetuskan kontroversi apabila salah seorang pemimpin PAS mendakwa ia memberi imej buruk kepada Islam.

Dakwaan itu juga diikuti dengan gesaan supaya rakyat Malaysia memboikot filem tersebut.

Sesetengah pihak juga mempersoalkan bagaimana filem yang diyakini mereka menyentuh sensitiviti Islam itu boleh mendapat tarikh tayangannya.

Namun bagi pengarah dan penerbit filem Yusof Haslam beliau berpendapat kedudukan filem tersebut sepatutnya tidak diragui kerana ia sudah mendapat kebenaran daripada Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF).

Katanya sebagai orang yang bergiat dalam bidang perfileman beliau percaya kepada kewibawaan serta kebijaksanaan anggota LPF.

"Saya tahu (prosuder) LPF kita pun agak ketat dalam aspek yang melibatkan isu-isu agama dan yakin mereka akan bertindak kalau perlu.

"Malah jika ada apa-apa yang meragukan pun mereka akan memanggil pihak-pihak yang terlibat seperti Jakim dan sebagainya untuk mendapatkan pandangan.

"Jadi, bagi saya tidak ada masalah (dengan filem Polis Evo 2) dan kita jangan (menghukum sesuatu perkara hanya) berdasarkan fahaman individu tertentu sahaja sebaliknya ambil kira peranan LPF, polis dan seumpamanya," kata Yusof ketika dihubungi Malaysiakini.

Terdahulu seorang pemimpin PAS menyarankan orang ramai memboikot Polis Evo 2 atas alasan ia memberikan gambaran buruk kepada Islam.

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Riduan Mohd Nor juga melabel filem arahan Joeh Soh dan Andre Chiew itu sebagai karya "sampah" dan dihasilkan oleh pengarah "suam-suam kuku".

Bagaimanapun seperti kebanyakan orang lain Riduan mengaku belum menonton filem tersebut.

Jakim dipanggil jika perlu

Menurut Yusof kejahatan atau kebaikan seseorang bukan ditentukan dengan penampilan fizikal mereka yang berserban atau tidak.

"Filem adalah filem, filem adalah satu cerita rekaan, tetapi ada juga realitinya dan setiap sebuah filem ada pengajarannya.

"Bagi saya penjenayah ini bukan kira (pemakaian). (Tidak semestinya) manusia pakai serban itu suci, atau yang tak pakai serban itu tak baik," tegas pemilik syarikat penerbitan Skop Production itu.

Malah, Yusof berkata adalah tidak adil untuk menghukum filem tersebut hanya berdasarkan video promosi Polis Evo 2 sahaja.

Tambah Yusof lagi, penonton wajar diberi peluang untuk menilai sendiri filem berkenaan dan bukan berdasarkan tafsiran orang lain.

"Walau apa pun jika ada keraguan di pihak kerajaan, lebih baik jika filem tersebut ditonton pihak berwajib bagi mencari jawapan yang pasti," katanya.

Sementara itu pengarah terbaik Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) 2017, Syamsul Yusof turut berkongsi pendapat dengan kenyataan berkenaan.

Menurut Syamsul, dia yakin tidak timbul isu berat yang boleh menyentuh sensitiviti Islam dalam filem Polis Evo 2 meskipun yakin akan ada pihak yang akan melabel beliau sebagai berat sebelah dengan kenyataannya itu.

"Mungkin apa yang saya komen akan biased kepada pengkarya. Tapi tak patut kita menjatuhkan apa-apa hukum sebelum melihat filem itu.

"Lagi pun filem itu sudah dapat tarikh tayangan.

"Jadi, rasanya tak ada isu berat pada filem itu, sebab (orang di) LPF pun bukan calang-calang," katanya kepada Malaysiakini.

Pengarah berusia 34 tahun itu menambah, bukan mudah untuk sebuah karya ditayangkan kepada umum kerana ia harus mengikuti pelbagai proses dan melibatkan banyak pihak.

"Macam filem saya, Munafik 2, yang kita tahu banyak isu-isu Islam.

"Jadi sebelum ditayangkan LPF sudah maklum ada elemen sensitiviti agama dalam filem saya. LPF memanggil Jakim untuk membantu mereka menilai," katanya.

Malaysiakini sudah cuba mendapatkan reaksi pengarah Polis Evo 2 dan barisan pelakonnya.

Bagaimanapun, barisan pelakon yang dihubungi enggan mengulas lanjut karya tersebut yang menyerahkan kepada pihak produksi untuk mengeluarkan kenyataan.

Pihak Astro Shaw pula ketika dihubungi berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat ini.

Antara pelakon yang terlibat dalam Polis Evo 2 ialah Zizan Razak, Shaheizy Sam, Erra Fazira, Hairul Azreen dan pelakon Indonesia, Raline Shah.

Ia adalah filem kedua selepas kejayaan filem pertama, Polis Evo yang mendapat kutipan RM17.74 juta pada 2015.

Lihat Komen
ADS