Paling Popular
Terkini

ULASAN | Esok, Himpunan Penulis.

Himpunan yang disebut sebagai acara sasaran menghimpunkan 300 penulis dalam acara yang dipasakkan pada tema Persuratan dan Peradaban: Jalan ke Hadapan.

Emel pujukan dari Institut Terjemahan Buku Negara terus memasuki peti inbox lebih sekali, Kota Buku menaikkan hebahan di Facebook berkali-kali. Persatuan Penulis Nasional Malaysia mungkin sibuk menghubungi persatuan-persatuan lagi agar turun menunjukkan wajah.

Apakah ini satu peragaan untuk laporan media keesokan harinya, kesepakatan penulis atau pun satu lagi acara kalendar hujung tahun?

Pesta ucapan, forum dan perbincangan dari pagi sehingga ke malam, sehinggalah dialog awam persatuan-persatuan penulis bersama Dr Maszlee Malik menjadi satu acara yang ditunggu-tunggu.

Beliau mungkin mahu menyampaikan mesej komitmen kepada komuniti penulis.

Kami terima sahaja.

Beliau sudah berusaha sebaik mungkin setakat ini dalam beberapa bulan awal ini.

Dalam 48 jam sebelum acara, rakan penulis mengirimkan mesej dalam Telegram, "Jika mahu tanya satu soalan kepada menteri, engkau mahu tanya apa?"

Pada malam itu, beberapa persatuan akan turun meminta.

Maka saya tak fikir wajar saya meminta di tempat bersama mereka, berebutkan setengah jam sebelum semua beratur dalam konsert puisi panjang.

Terus sahaja ke depan.

Tanpa mikrofon dan sekeping keras untuk mengajukan soalan, lima perkara ini jika dicapai memadai untuk memberi nafas kepada industri buku.

1. Apa yang diusahakan untuk baucar buku, spesifikan lagi mekanisme, libatkan MABOPA, mereka sudah bekerja kuat untuk memberi cadangan sejak dulu lagi. Cadangan itu termasuklah usaha-usaha menangani ketirisan dalam pemberian. Kita mahu kejelasan dalam proses baik dari sudut pembuat polisi, pelaksana dan penerima.

2. Mengaudit semula koleksi dan proses pembelian buku-buku di perpustakaan sekolah yang memerlukan 'happiness' dari segi pemilihan judul. Ini adalah dunia yang perlu diperbaiki

3. Berikan kekuatan kepada gerak kerja Perpustakaan Negara Malaysia dan agensi perbukuan yang lain dalam kerja-kerja mereka. Mereka diukur menggunakan model kerja, tanda aras, kreativiti serta usaha yang lebih inovatif.

4. Gunakan kuasa untuk menekan atau berikan kelebihan memilih bekerjasama di kalangan para penerbit dan rangkaian kedai buku agar berkongsi data jualan supaya pada peringkat negara, kita dapat menyusun kerja-kerja dengan kumpulan data yang dijadikan data nasional.

Mudahkan kerja Nielsen Bookscan untuk lakukan kerja-kerja mereka memetakan data.

Entah berapa kali cubaan menyelamatkan industri buku dengan pendemokrasian data bagi menyusun peta pergerakan trend perbukuan tidak berjaya.

5. Himpunan ini mesti disusuli dengan konferen berkaitan pemasaran kandungan pada peringkat nasional melibatkan para penerbit pula dalam usaha menguruskan daya usaha mereka membawa buku para pengkarya.

6. Legasi paling besar dapat ditinggalkan oleh menteri adalah proses pemerkasaan Dasar Buku Negara.

Satu usaha setengah jalan yang memakan masa setiap agensi, penerbit dan persatuan ketika dipanggil dalam mesyuarat berdasarkan setiap kluser.

Saya yakin laporan tebal sudah diambil perhatian semula dan mesti menjadi.

Adakah saya akan hadir ke Himpunan Penulis?

Saya tidak hadir bukan kerana tidak mahu, tetapi kemandirian penulis menuntut saya bekerja pada hari itu.


ZAMRI MOHAMAD adalah penulis 27 buah buku yang baru pulang memenuhi jemputan Singapura bercakap mengenai pemasaran sastera.

Artikel ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS