Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bunuh guna patung dewa, persatuan Hindu tuntut tapis filem Tamil

Persatuan Hindu Agamam mendakwa Lembaga Penapisan Filem (LPF) lembab menangani kontroversi filem Tamil Sarkar lakonan bintang terkenal India, Vijay.

Pengerusinya Arun Doraisamy berkata “keengganan LPF bertindak segera” berkenaan sebuah adegan yang dikatakan sensitif kepada Hindu, jelas tidak menghormati perasaan penganut agama itu.

"Tindakan LPF membenarkan adegan watak antagonis membunuh orang dengan menggunakan patung dewa Hindu amat sensitif serta menyakitkan perasaan penganut Hindu seluruh dunia.

“Kami hairan bagaimana LPF boleh membiarkan adegan tersebut,” katanya.

 Lebih mengecewakan, kata Arun, LPF tidak mengambil tindakan walaupun beberapa NGO, termasuk Malaysia Hindu Sangam (MHS) dan Malaysia Hindu Dharmamaamandram, telah mengemukakan surat bantahan dan menuntut adegan berkaitan ditapis.

"Malah, saya sendiri membuat satu laporan polis pada Isnin yang lalu. Namun, masih tiada tindakan daripada LPF mahupun, pihak KDN (Kementerian Dalam Negeri),” tambah beliau.

Turut kontroversi di India

Sarkar, sebuah filem arahan AR Murugodass menyentuh politik semasa Tamil Nadu, mula ditayangkan di pawagam Malaysia pada 6 November lalu.

Ia turut mengundang kontroversi di India sehingga kerajaan Tamil Nadu memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Di Malaysia, filem tersebut mendapat reaksi positif daripada para penonton, susulan pelakon Vijay mempunyai peminat setia yang sangat banyak di Malaysia.

"Kami bukan anti-Vijay. Kami tidak ada masalah dengan sebarang filem beliau atau pelakon lain. Asalkan, ia tidak sensitif dengan Hindu mahupun agama lain," kata Arun.

Tambahnya, Presiden MHS Mohan Shan akan bertemu dengan Jabatan Perpaduan di Putrajaya agar satu tindakan positif segera diambil.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi LPF.

Lihat Komen
ADS