Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ini pandangan Maza lepas tonton trailer Polis Evo 2
Diterbitkan:  Nov 15, 2018 6:30 PM
Dikemaskini: 12:55 PM

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini tampil memberikan pandangan secara umum selepas menonton trailer filem Polis Evo 2.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Dr Maza berkata, tiada keperluan untuk filem berkenaan menggambarkan golongan ekstremis dalam negara kerana Malaysia bukan wilayah pengganas.

“Realiti di Malaysia setakat ini ekstremis belum sampai ke peringkat seperti yang digambarkan dalam trailer itu.

“Kita bukan di kawasan Daesh atau ISIS. Saya bimbang ia memberikan gambaran salah tentang Malaysia yang harmoni yang menukar kerajaan tanpa menumpahkan setitis darah pun,” katanya pada hantaran Facebook rasmi beliau.

Kata Mohd Asri, berdasarkan pemerhatiannya itu juga, beliau mendapati trailer filem tersebut memberikan mesej yang kurang baik tentang imej umat Islam.

Bagaimanapun, Mohd Asri mengakui bahawa adalah tidak adil untuknya membuat penilaian penuh kerana masih belum berpeluang untuk menyaksikan Polis Evo 2.

“Namun saya tidak tahu filem yang sebenarnya. Saya tidak dapat memberikan komen secara pasti kerana belum menonton keseluruhannya,” katanya.

Mohd Asri membuat kenyataan itu selepas Penerbit Eksekutif yang juga merangkap Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Astro, Khairul Anwar Salleh, mendedahkan telah mengadakan pertemuan dengannya.

Kata Maza, penerbit sebenarnya telah bertemu beliau dua hari lalu.

Sebelum ini anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr Riduan Mohd Nor menyatakan rasa tidak senang dengan filem Polis Evo 2.

Riduan turut menggesa rakyat negara ini untuk memboikot filem berkenaan.

Tambah Mohd Asri lagi, kebimbangan mengenai Islamophobia adalah antara aspek yang perlu dinilai dalam filem itu.

“Ketika dunia musuh menggambarkan umat Islam sebagai pengganas, kita tidak wajar membantu mereka mengukuhkan lagi agenda itu,” katanya.

Mohd Asri turut mempertikaikan sama ada Polis Evo 2 sememangnya menonjolkan Islam secara harmoni dan bukan menonjolkan aksi pertempuran semata-mata.

“Jika pengganas itu sebagai watak hitam atau jahat dalam filem berkenaan yang mewakili ajaran sesat atas nama Islam, apakah dalam filem ini ditonjolkan ajaran Islam yang sebenar yang harmoni?

“Jika ada, maka itu dapat menjaga nama Islam. Jika tiada tapi setakat pertarungan dengan pihak berkuasa sahaja, itu akan memberi mesej salah kepada penonton khususnya bukan Muslim.

“Saya beri contoh filem Munafik yang menonjolkan watak salah tetapi ada watak baik yang mewakili ajaran Islam yang betul maka, tidak nampak Islam dihina ataupun dipersenda,” katanya.

Mohd Asri juga berkata beliau akan cuba meluangkan masanya untuk menonton filem berkenaan.

“Itulah ulasan umum saya tanpa menghukum filem yang belum saya tonton.

“Terima kasih kepada penerbit yang datang bertemu dan mengajak saya menonton untuk penilaian sebelum ditayangkan kepada umum.

“Jika ada masa, saya akan lakukannya. Insya-Allah,” katanya.

Lihat Komen
ADS