Pengasas band PrimeD, Joe mengaku dia perlu menghadapi setiap dugaan yang hadir dalam kehidupannya terutama membabitkan pengunduran tiga anggota kumpulan itu baru-baru ini dengan tenang.
Pemain gitar itu menyifatkan situasi tersebut sebagai asam garam yang perlu didepani seorang anak seni dalam memperjuangkan bakat dan karyanya tanpa jemu.
“Bagi saya ini asam garam apabila berada dalam sesebuah band. Sebelum ini saya juga sudah pernah diuji dengan dugaan lagi hebat.
“Perkara macam ini memang saya tak boleh nak jangka atau elak,” katanya.
Pemilik nama asal Abdul Zamin Abdul Kadir itu ditemui pada sidang media pengumuman persembahan The Best of Joe di Kuala Lumpur hari ini.
Aweera, Hillary dan Fauzi tinggalkan PrimeD
Ogos lalu, media melaporkan vokalis Aweera meninggalkan PrimeD - yang dulu dikenali sebagai Prime Domestic - selepas lebih setahun menganggotai kumpulan rock itu.
Pengunduran itu terlebih dahulu dilakukan pemain gitar utama PrimeD, Hillary Ang dan pemain bass, Fauzi.
Ketiadaan Aweera, Hillary dan Fauzi menyaksikan PrimeD kini hanya dianggotai Joe dan Ainol (dram).
Untuk nota, sebelum PrimeD, Joe pernah menganggotai kumpulan Scandal pada 1986 dan menyertai Wings pada 1988 sebelum membawa haluan sendiri bermula awal tahun lalu.
Joe, 49, juga berkata, konflik yang berlaku membuatnya kini mengambil kira siapa yang perlu didekati dan siapa perlu dijauhi apabila berkawan.
“Tidak dinafikan ada pihak yang menepuk tangan. Tapi kini saya sedar siapa lawan, siapa kawan,” katanya.

Justeru, kata Joe, dia tidak lagi mahu mengenangkan detik hitam yang pernah dilaluinya itu, sebaliknya, dia perlu berusaha memberikan yang terbaik buat peminat.
“Tak perlu pandang belakang lagi, saya harus mara ke depan terus,” katanya.
Joe bakal tampil mengadakan sebuah persembahan istimewa dalam the Best of Joe di Hard Rock Cafe, pada 9 Disember ini bermula jam 10.30 malam.
The Best of Joe akan turut menampilkan Ainol, Rozaimi (dram), dan dua penyanyi iaitu Zul dari kumpulan Electric 5 serta Adi (Soul Statute).
Mengulas lanjut mengenai The Best of Joe, menurutnya, selama ini peminat banyak memberi galakan selain sering memintanya mempersembahkan karya-karya "berat."
“Dari dulu saya nak buat solo tapi tak pernah berkesempatan, banyak lagu ciptaan sendiri juga tak pernah dipersembahkan dengan band terdahulu.
“Baru sekarang boleh berikan apa yang peminat nak terutama lagu bergenre heavy metal, inilah masanya,” katanya.
Harga tiket berjumlah RM50 telah mula dijual dan boleh didapati di kaunter tiket Hard Rock Cafe atau daripada penganjur JJ Rochestra.
