Perbicaraan kes pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari yang menghadapi pertuduhan membuat laporan polis palsu berhubung dakwaan dirinya dianiaya tiga rakan artis yang sepatutnya bermula hari ini ditangguhkan kepada Februari tahun depan.
Majistret Salamiah Salleh memutuskan demikian selepas pihak pembelaan memaklumkan ingin meneliti pertuduhan pindaan yang baru dikemukakan pihak pendakwaan dan selepas pertuduhan pindaan itu dibacakan Farid Kamil atau nama sebenarnya, Farid Kamil Zahari, 37, masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah.
Bagi pertuduhan pindaan, dia didakwa telah membuat satu kenyataan palsu yang mana laporan itu bersabit dengan laporan polis Damansara yang dibuatnya iaitu "Semua perkara ini terjadi disebabkan oleh saya percaya minuman saya telah dicampurkan suatu barang terlarang iaitu dadah oleh tiga individu yang saya kenali 13 tahun yang bernama Sofi Jikan, Osh (Firdaus) dan Taj (penyanyi kumpulan Innuendo) pada malam sebelum kejadian berlaku yang menyebabkan saya berjalan tanpa sedar diri dari Ara Residence sehingga Balai Polis Taman Tun Dr Ismail tanpa tujuan yang jelas sehingga saya berjumpa dengan Ketua Polis Deputi Superitendan Mohsin".
Pertuduhan pindaan itu lebih terperinci dengan memasukkan nama tiga artis itu dan bagaimana kejadian itu didakwa berlaku.
Pelakon filem J Revolusi itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, pada 5.54 petang, 31 Jan lalu mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid Kamil turut memaklumkan pihaknya akan mengemukakan representasi terhadap pertuduhan pindaan itu.
"Saya baru dilantik sebagai peguam untuk mengendalikan kes ini dan saya mohon mahkamah menangguhkan perbicaraan bagi pertuduhan ini," katanya dan mahkamah menetapkan 19, 20, 25 dan 26 Feb tahun depan untuk perbicaraan kes terbabit dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mary Phoon Keat Mee.
- Bernama
