U-Wei Saari mendedahkan bahawa unsur 'cabaran' adalah sesuatu yang akan menggodanya mengarahkan sesuatu naskhah teater atau filem.
Selain itu, pengarah filem Hanyut itu juga berkata, 'desakan nafsu' juga merupakan satu lagi unsur yang membolehkannya berkarya.
“Kalau tak ada nafsu, tak berkaryalah saya,” katanya kepada Malaysiakini.
U-Wei, 65, berkata demikian semasa mengulas kecenderungannya memilih skrip teater Pokok tulisan wartawan dan sasterawan, Johan Jaaffar untuk dipentaskan di Auditorium DBP mulai 7 Dis ini.
U-Wei yang turut diingati dengan filem seperti Kaki Bakar dan Jogho berkata, perkara yang menambah minatnya untuk mementaskan Pokok ialah kerana penulisnya - Johan - tidak berlebih-lebihan semasa menumpahkan ideanya.
Untuk rekod, kali terakhir U-Wei mengarahkan teater ialah pada 10 tahun lalu melalui naskhah Wangi Jadi Saksi manakala Johan pula sudah 14 tahun tidak bergiat aktif sebagai penulis.
Kata U-Wei, kandungan yang hendak disampaikan dalam Pokok tidak bombastik dan menggunakan gaya bahasa yang mudah.

“Biasanya kalau nak menulis ni, kena biarkan idea itu keluar dengan cara tidak dipaksa-paksa,” katanya.
Teater Pokok yang bakal dijayakan pelakon seperti Haliza Misbun, Rahim Jailani, Ebby Saiful dan Buyung Zasdar itu akan memulakan slotnya pada 8.30 malam dari 7 hingga 16 Disember ini.
Selain itu, naskhah berkenaan juga akan dipertontonkan pada sebelah siang iaitu pada jam 3 petang 8, 9, 15 dan 16 Disember.
Bukan jual mahal
Pokok berkisah mengenai kehidupan sepasang suami isteri, Darwis - dilakonkan Ebby - dan Mardiah (Haliza) yang menetap di sebuah kediaman kecil di pinggir hutan.
Rumah mereka dipayungi sebuah pokok besar yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan.
Mardiah juga berdepan konflik apabila pemilik rumah sewa mereka, Tuk Kaya (Rahim) yang menaruh perasaan terhadapnya hingga membuatkan wanita itu tidak senang duduk.
Sementara itu, U-Wei juga mengulas mengenai kekangannya dalam menghadirkan sesebuah karya baru.
Menurutnya, dia perlu mengambil tempoh hingga bertahun sebelum tampil dengan sesebuah projek kerana sifatnya yang amat selektif.
Tetapi U-Wei tidak menolak ketentuan takdir mungkin turut memainkan peranan dalam kelewatannya itu.
“Kadang-kadang nasib pun mainkan peranan, tetapi selektif itu bukan bermaksud saya jual mahal.
“Sesebuah skrip itu menjadi kita, ataupun mungkin juga saya memang tak prolifik,” katanya berseloroh.
