Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Usianya empat tahun, namun kanak-kanak itu bukan sahaja cekap menggerakkan tangan bermain wayang kulit, malah pandai mengolah skrip untuk persembahannya.

Pyu, yang nama sebenarnya Aqfierudzar Rizq Mohd Sulhie, semakin mencipta nama sejak persembahannya di program ‘Joyful Malaysia’ anjuran Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) dengan kerjasama Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) yang berlangsung hampir sebulan mulai 9 Sept di ruang legar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2).

Ayahnya, Mohd Sulhie Yusof berkata ketika persembahan itu orang ramai termasuk para pelancong asing mengerumuni Pyu untuk melihat pemilik suara nyaring yang petah di sebalik kelir (layar putih) wayang kulit itu.

Mengakui pada mulanya agak bimbang sekiranya Pyu gementar atau menangis untuk membuat persembahan, beliau akhirnya lega melihatkan anaknya tenang menuturkan bait-bait penceritaan sehingga tamat persembahan yang berlangsung selama kira-kira 15 minit.

“Sepanjang tiga minggu persembahan Joyful Malaysia, saya sering mengubah jalan cerita untuk disampaikan agar Pyu dapat membiasakan diri dengan keadaan begitu sejak awal lagi. Persembahan keduanya membawa sehingga minit ke-20,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Melihatkan kecekapan Pyu bermain wayang kulit, pasti tidak ada yang menyangka bahawa di cilik itu baru sahaja menjadi tok dalang dan itu adalah penampilan solo sulungnya. Sebelum itu Pyu menjadi pembantu tok dalang dalam beberapa persembahan.

Mampu olah skrip

Pyu tampil dengan persembahan bertajuk ‘Pengasuh Kembara ke MaAHA’ di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA 2018) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, yang berlangsung dari 22 Nov-8 Dis.

Kemampuan Pyu menuturkan bait-bait penceritaan sambil bermain patung wayang kulitnya dalam persembahan itu membuatkan penonton tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing.

“Skrip diolah sendiri oleh Pyu dan saya hanya bertindak menerangkan jalan ceritanya harus bagaimana,” kata Mohd Sulhie yang merupakan penaung kepada Kumpulan Kesenian Arjunasukma dari Klang, Selangor. Kumpulan kesenian itu merangkumi kumpulan wayang kulit, dikir barat, silat, kompang, mak yong dan simfoni muzik tradisional.

Terdahulu daripada itu, Pyu memenuhi undangan persembahan wayang kulit pada Pertandingan Dikir Barat Piala Buluh Perindu, di Woodlands Galaxy CC, di Singapura pada 18 November.

Mengimbau kembali acara yang disaksikan kira-kira 500 tetamu itu, kelir baharu (ditempah khas) yang digunakan pada hari itu tumbang ketika persembahan lalu mendedahkan Pyu kepada penonton.

“Para penonton terus berdiri sambil bertepuk gemuruh sebaik sahaja melihat kelibat tok dalang yang tidak disangka mereka masih kanak-kanak yang hanya setinggi 93 cm, hampir sama aras dengan watak wayang kulit yang dimainkannya,” tambah beliau sambil mengakui amat tersentuh dengan sokongan hebat itu.

Main bayang-bayang

Menceritakan penglibatan anaknya itu dalam permainan wayang kulit, Mohd Sulhie berkata Pyu bermula sebagai tukang pukul canang - alat muzik yang mengiringi persembahan wayang kulit - dalam kumpulan wayang kulit Arjunasukma sejak tahun lalu.

Beliau menyedari Pyu yang ketika itu berusia tiga tahun pandai menjiwai watak wayang kulit dalam satu pementasan teater apabila anaknya yang memukul canang lari meninggalkan pentas dan menangis mendapatkan ibunya.

“Ketika itu keluar watak jin bernama Raja Bota. Dari situ, saya lihat Pyu seakan-akan memahami dan menjiwai jalan cerita wayang kulit sehingga ke tahap tertentu.

“Dari saat itu, minatnya terus berkembang dan setiap kali melihat bayang-bayang, tangan Pyu terus bergerak sambil menuturkan bait-bait penceritaan wayang kulit walaupun hanya menggunakan jari,” tambah beliau.

Selepas beberapa ketika, beliau memberi peranan kepada Pyu untuk memainkan watak dewa panah pada pembukaan wayang kulit dalam teater tersebut.

“Saya lihat Pyu mampu melaksanakannya dengan mudah sedangkan menggerakkan watak sebagai dewa panah yang turun dari kayangan itu agak susah dilakukan walaupun bagi orang dewasa,” katanya lagi.

Hidupkan watak

Mohd Sulhie berkata, untuk menghidupkan watak wayang kulit, seorang tok dalang seharusnya mampu mengubah suara agar berbeza bagi setiap watak, lancar berkata-kata sambil tangan bermain cekap patungnya dan kesemuanya hendaklah seiring alunan muzik.

“Kemampuan berbuat demikian bukanlah tahap seorang kanak-kanak berusia empat tahun.

“Kemudian saya cuba membawa keluar Pyu ke khalayak ramai kerana saya lihat dia mampu mementaskan persembahan wayang kulit tersebut,” tambahnya yang yakin dengan kemampuan anaknya itu.

Sementara itu, sasterawan Profesor Madya Dr Lim Swee Tin yang turut hadir ketika temu bual itu berpendapat Kementerian Pendidikan Malaysia seharusnya mengambil kira elemen kesenian untuk diterapkan dalam pendidikan awal peringkat prasekolah.

“Kanak-kanak sebenarnya mampu menjana kreativiti seawal usia tiga atau empat tahun.

“Kemampuan Pyu boleh dijadikan contoh bahawa kanak-kanak mempunyai caranya tersendiri dalam menghayati sesuatu, di samping minat yang kuat mampu dipupuk dan berkembang dengan baik,” katanya yang merupakan kenalan rapat Mohd Sulhie.

- Bernama

Lihat Komen
ADS