Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
PU Faiz: Ketuanan Melayu bawa keamanan, perlu dipertahan

Seorang penceramah bebas berpandangan konsep Ketuanan Melayu yang diamalkan di Malaysia tidak bercanggah dengan Islam.

Bagi Naib juara Pencetus Ummah (PU) musim kedua Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli, konsep itu telah menjadikan masyarakat berbilang kaum di negara ini hidup dengan aman dan harmoni.

Justeru, katanya lagi, ia bukan saja tidak bercanggah dengan agama malah wajib dipertahankan.

"Indahnya Islam ia tidak membawa satu sistem pemerintahan secara khusus. Ia tidak mengatakan negara perlu ditadbir bawah monarki, demokrasi mahupun republik.

"Malaysia merdeka dengan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Dan perlembagaan memaktubkan ketuanan Melayu dan ketika merdeka nenek moyang kita setuju untuk menjunjung perlembagaan ini.

"Jika (ketuanan Melayu) dihapuskan, ia berisiko menjejaskan keamanan. Maka wajib mempertahankannya," katanya kepada Malaysiakini.

Isu ketuanan Melayu kembali hangat selepas tercetusnya isu Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Esok akan berlangsungnya himpunan kesyukuran selepas kerajaan membatalkan hasrat meratifikasi konvensyen PBB itu. Antara hujah mereka yang menentangya adalah ia mengancam Perlembagaan Persekutuan, terutama dalam soal Melayu dan Islam.

Pandangan Ahmad Faiz bertentangan dengan seorang penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin yang berkata konsep itu tidak wujud dalam Islam.

Beliau berkata definisi ketuanan Melayu tidak pernah jelas tetapi antara kefahaman popular mengenainya adalah sebagai konsep perkauman iaitu orang Melayu seabgai tuan kepada negara ini.

'Angkat semangat nasionalisme'

Katanya, implikasi pemahaman itu menjadikan orang bukan Melayu berada pada kedudukan lebih rendah berbanding orang Melayu.

Apabila Islam menolak sistem perhambaan dan kekastaan, makanya tidak hairan Islam tidak menerima konsep kemuliaan seseorang manusia itu berdasarkan kaum dan bangsa," katanya dalam artikel yang disiarkan Malaysiakini November lalu.

Antara kritikan utama konsep itu adalah ia dipergunakan Umno untuk memperkaya sebahagian orang Melayu tetapi mengabaikan yang lain.

Menyangkal dakwaan itu, Ahmad Faiz berkata terdapat golongan agama, yang mengangkat semangat nasionalisme melalui konsep itu.

Beliau memetik mufti pertama Pulau Pinang Sheikh Abdullah Fahim yang pernah menulis syair dengan ungkapan "Hidup Melayu merdekalah tanah air".

"Ia tidak bermakna kita memusuhi golongan lain. Konsep ini telah lama di negara ini dan terbukti memelihara keamanan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS