mk-logo
Seni & Hiburan
Faizal buktikan kehebatan pelakon Malaysia

Faizal Hussein sanggup tidak menggunakan sebarang khidmat pelakon pendua atau body double dalam mana-mana babak aksi bagi membuktikan dirinya aktor serba-boleh semasa menjayakan drama terbitan produksi luar.

Faizal mengaku dia sedikit pun tidak gentar untuk beraksi lasak terutama tawaran menjayakan drama bersiri seperti Strike Back merupakan satu peluang yang ditunggu-tunggu.

“Saya tak pernah takut untuk buat babak aksi sendiri begitu juga dalam drama ni.

“Saya nak mereka lihat pelakon Malaysia berani dan serba-boleh sedangkan pelakon utama drama itu pun menggunakan pelakon pendua,” katanya.

Faizal, 51, ditemui pada majlis pelancaran filem suspen thriller, M4M4 di Kuala Lumpur hari ini.

M4M4 diarahkan oleh Eyra Rahman dan ini merupakan kali kedua Faizal berlakon dibawah arahan sutradara itu selepas filem Gudang Kubur.

Strike Back sebuah kisah bersiri bercorak aksi dan penyiasatan dihasilkan produksi Britain-AS juga pernah menampilkan pelakon Malaysia - Hong Kong, Michelle Yeoh.

“Saya memang ikuti drama ini di Cinemax sejak sirinya bermula dan tahu Michelle juga pernah melakonkan watak antagonis sebelum ini,” kata Faizal.

Menurut pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-25 itu, peminat boleh menyaksikan aksinya nanti apabila episod 7 dan 8 dalam siri terbaru Strike Back bersiaran pada awal tahun depan.

Bajet RM390 juta

Berkongsi lanjut, menurutnya, bagi episod dilakonkannya, produksi dengan bajet mencecah RM390 juta itu memilih Pinewood Iskandar Malaysia Studios, Johor sebagai lokasi penggambaran.

“Kami mulakan penggambaran di situ selepas Raya Haji lalu,” katanya.

Ini adalah kali pertama pelakon filem Bunohan dan Tombiruo: Penunggu Rimba itu menerima tawaran daripada produksi Britain-AS. 

Dia sebelum ini pernah menjayakan filem terbitan dari produksi Hong Kong, Filipina dan Indonesia.

Mengulas mengenai tawaran yang diterima selain daripada produksi tempatan, Faizal berkata, peluang itu hadir bukan atas faktor penentu seperti populariti mahupun saranan mana-mana kenalan dalam dunia hiburan.

“Biasanya tawaran luar ni saya dapat kerana mereka nak watak mengikut skrip itu, iaitu seorang Faizal Hussein seadanya.

“Untuk Strike Back, saya tak perlu berbadan sado (sasa) dan penampilan ada pada saya bersesuaian sebagai penjahat baru keluar dari penjara,” katanya.

Lagi berita dari pengarang :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini