Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Diancam tibi di penjara Medan, Benjy harap sokongan ramai

Pelakon Malaysia yang sedang dipenjara di Indonesia, Benjy, didakwa berdepan risiko menghidap sakit tibi jika tidak dirawat segera.

Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah, berkata untuk membolehkan Benjy diselamatkan, anak pelakon arwah Azean Irdawaty itu memerlukan dana sebanyak RM,1000 sebulan.

“Kesihatan Benjy agak terganggu disebabkan dia mengidap asma kronik.

“Jika tidak dirawat Benjy berpotensi terkena batuk kering atau tuberculosis (tibi),” katanya melalui teks pesanan ringkas kepada Malaysiakini hari ini.

Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Deli Serdang, Sumatera pada 18 April tahun lalu.

Dia ditahan selepas pihak berkuasa menemui 4.5 gram methamphetamine atau syabu yang disorokkan di dalam duburnya. 

Benjy, 40, dihukum penjara oleh Mahkamah Daerah Medan selepas didapati bersalah menyeludup bahan terlarang itu pada 18 Okt tahun lalu.

Lama lagi di penjara

Selain itu, dia juga diarah membayar denda membayar sebanyak Rp800 juta (RM251,359).

Dia sedang menjalani hukuman penjara itu di Tanjung Gusta, Medan.

Presiden Seniman, Zed Zaidi, berserta Hafiz melawat Benjy di penjara itu pada 15 Dis lalu.

Hafiz menjelaskan, daripada jumlah keseluruhan RM1,000 itu, RM600 daripadanya akan digunakan bagi tujuan menampung kos perubatan Benjy manakala selebihnya untuk hal-hal kebajikan.

Bagi membantu meringankan beban ditanggung Benjy, Hafiz berkata, Seniman juga bakal melancarkan Tabung Prihatin Seniman.

Sementara itu, Benjy turut mengirimkan sekeping nota ditulis tangan kepada Seniman yang antaranya menyebut: “Aku lama lagi kat sini.”

Benjy juga mengharapkan dia diberi sokongan moral untuk meneruskan kehidupannya semasa di penjara.

“Doakan kesihatan aku bertambah baik sebab aku perlu sihat untuk bertahan di sini.

"Doakan segala usaha aku untuk pulang dipermudahkan,” katanya.

Lihat Komen
ADS