Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Anak seni diseru contohi Yasmin Ahmad, berkarya dari hati
Diterbitkan:  Jan 7, 2019 2:25 PM
Dikemaskini: 12:35 PM

Pengkarya muda diseru menyahut seruan pengarah allahyarham Yasmin Ahmad untuk berkarya melalui hati selain memikirkan kesejahteraan masyarakat dalam setiap naskhah diusahakan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohammadin Ketapi menciap demikian melalui Twitter bagi memperingati legasi karya-karya Yasmin sempena 10 tahun pemergiannya hari ini.

Menurut Mohammadin, setiap karya disumbangkan Yasmin sama ada perfileman mahupun pengiklanan telah menyentuh hati sesiapa yang menontonnya.

“Saya memperingati legasi allahyarham Yasmin Ahmad, seorang anak seni yang sering mengajak rakyat Malaysia untuk saling kenal dan mencintai, sempena hari kelahirannya pada 7 Januari,” ciap beliau.

Mohammadin turut mengiringi setiap ciapan beliau dengan tanda pagar #MenjiwaiYasmin.

Pada 26 Julai 2009, Yasmin dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital pakar Damansara setelah diserang angin ahmar kira-kira jam 4.30 petang di stesen TV3.

Arwah kemudian menghembuskan nafas terakhirnya pada 11.25 malam.

Filem-filem Yasmin seperti Sepet, Gubra dan Mukhsin cukup terkenal, termasuk di di luar negara dan menggondol beberapa anugerah di beberapa festival filem antarabangsa seperti di Berlin, San Francisco, Singapura dan Cannes.

Selain itu, Yasmin juga dikenang-kenang melalui cetusan kreatifnya dalam iklan komersial sempena sambutan perayaan di televisyen kerana sering memaparkan mesej yang dekat dengan masyarakat.

Mohammadin berkata, beliau antara salah seorang penonton yang pasti tidak ketinggalan untuk menyaksikan iklan-iklan menarik menjelang sesuatu perayaan.

“Saya masih ingat lagi suatu ketika dahulu ramai akan tertunggu-tunggu iklan-iklan menarik sewaktu sambutan Merdeka, Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali.

“Siapa masih ingat 'Ombak Jahat', 'Kenapa saya suka rumah saya?', 'Kasut Gombak' dan 'Indian Boy?',” katanya.

Bagi Mohammadin, antara iklan Yasmin yang masih segar di ingatan adalah sebuah iklan terbitan Petronas yang disiarkan pada 2000.

“Karya Yasmin yang menjadi pilihan saya pastinya iklan Petronas pada tahun 2000, the Boat Race yang berkonsepkan perpaduan.

“Seperti yang saya kongsikan dalam perutusan tahun baru @MyMOTAC, perpaduan adalah kekuatan kita,” ciapnya.

Sementara itu, Mohammadin turut meluahkan perasaan syukur dan bangga beliau kerana pembabitan Yasmin sebagai anak seni banyak membantu menarik perhatian pelancong untuk melawat Ipoh, Perak.

“Yasmin sering melakukan penggambaran di sana.

“Saya tidak terkejut jika keindahan Ipoh yang dikongsikan telah menarik pelbagai pelancong ke negeri Perak.

“Sebuah muzium Yasmin @ Kong Heng juga telah dibina di Ipoh bagi memperingati legasi anak seni ini dan turut menjadi tarikan pelancong serta khazanah budaya moden yang dihargai setiap generasi,” ciapnya.

ADS