Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Skandal seks artis Indonesia: Dah kenapa ada Baby Shima?

Ketika dunia hiburan Indonesia heboh dengan skandal pelacuran membabitkan selebritinya, tiba-tiba Baby Shima terkesima.

Puncanya, salah satu gambar selebriti yang didakwa terbabit dalam rangkaian pelacuran itu memaparkan wajahnya.

Justeru tidak hairan apabila peserta siri realiti D’Academy Asia dan Big Stage itu terkejut dan marah.

Kata Baby Shima dia hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas dimaklumkan sebuah syarikat rakaman di Indonesia, Nagaswara awal pagi semalam.

“Saya terkejut dan berasa marah sewaktu diberitahu oleh pihak pengurusan berhubung perkara yang berlaku," katanya kepada Malaysiakini menerusi panggilan dari Jakarta, Indonesia tengah hari tadi.

Skandal terbabit melibatkan penyanyi, pelakon atau model di Indonesia itu terbongkar dengan penangkapan Vanessa Angel yang dicekup ketika dia berada di ranjang hotel pada 5 Jan lalu.

Siasatan polis mendapati kegiatan yang berurusan secara dalam talian itu turut melibatkan hampir 50 artis lain dan 100 model.

Tak lupa pesan orang tua

Daripada jumlah di atas, polis Indonesia baru-baru ini mendedahkan pula enam nama selebriti yang didakwa turut menawarkan perkhidmatan seks berkenaan.

Sebuah stesen televisyen Indonesia pula menggunakan gambar Baby Shima dan mengaitkannya dengan salah seorang suspek yang hanya dikenali sebagai BS.

Bagaimanapun, selebriti yang dimaksudkan sebenarnya adalah Baby Shu atau Bebi Shu.

Selain, Baby Shu, lima selebriti lain juga didakwa menjalankan aktiviti pelacuran adalah Riri Febianti, Aldiena Chena, Tiara Permatasari dan dua finalis pertandingan Puteri Indonesia, Fatya Ginanjarsari serta Mulia Lestari.

Gambar enam wajah selebriti yang didakwa terbabit dalam kegiatan pelacuran di Indonesia

Menurut pemilik nama sebenar Nor Ashima Ramli itu, sepatutnya dari awal pihak stesen wajar menyelidik dengan teliti sebelum memaparkan gambar seseorang.

Baby Shima yang turut dikenali di Indonesia sejak setahun lalu dengan membawa lagu-lagu dangdut berkata, mengaitkan seseorang dengan kegiatan pelacuran bukan perkara kecil.

"Ini bukan perkara kecil. Reputasi saya boleh terjejas begini,” katanya.

Pada masa sama, kata Baby Shima, 26, dia tidak pernah melupakan pesan yang dititipkan oleh kedua orang tuanya seiring dengan impiannya untuk meluaskan karier secara sihat di negara orang.

Vanessa Angel

Menurut peserta D’Academy Asia musim ke-3 itu, bapanya Ramli Ali, 51, dan ibu Zaleha Mohamed, 51, selalu menasihatkan agar dia sentiasa menjaga adab dan maruah diri.

“Dunia hiburan banyak godaan, tetapi semua bergantung kepada diri kita masing-masing.

“Saya selalu ingat pesan orang tua dan keluarga untuk menjaga harga diri. Takkanlah saya nak cemarkan maruah kedua orang tua,” katanya.

Terdahulu, penyanyi lagu Makan Hati itu menyatakan rasa tidak puas hati selepas sebuah stesen televisyen mengaitkan dia sebagai seorang daripada selebriti yang menjalankan aktiviti memuaskan nafsu pelanggan.

Pada masa sama, Baby Shima juga menggesa pihak berkenaan supaya membersihkan reputasinya yang sudah tercalar gara-gara kecuaian mereka.

“Kecewa dan sedih. Harap pihak berkenaan dapat membersihkan nama Shima kembali, terima kasih,” katanya di Instagram.

Baby Shima berkata, dia akan berbincang dengan pihak pengurusannya sebelum mengambil tindakan susulan ke atas syarikat televisyen terbabit.

Lihat Komen
ADS