Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Perubahan kerajaan selepas Mei tahun lalu mungkin membawa khabar gembira kepada majoriti pengundi, tetapi bagi seorang pembikin filem, ia bemakna datangnya kekangan untuk dia menyiapkan filem kisah hidup atlet paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Puzi.

Bagi Tunku Mona Riza, pembaharuan dasar dalam Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) - yang didakwanya mensyaratkan sesebuah filem perlu disiapkan terlebih dahulu sebelum menerima geran - menyukarkan dia menyiapkan filemnya.

Kata Tunku Mona, filem berjudul Hidup Kembali itu sepatutnya memulakan penggambaran selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu dan - jika semuanya mengikut jadual - ia kini akan melalui proses pascaproduksi. 

“Karya itu diluluskan selepas pembentangan idea dilakukan di Finas tetapi apabila skrip dan praproduksi nak dimulakan, saya dimaklumkan peraturan sudah berbeza.

“Finas menetapkan seseorang sutradara wajib menyiapkan karya mereka terlebih dahulu sebelum diberi geran,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurutnya, penggambaran Hidup Kembali memerlukan perbelanjaan besar kerana ia menggunakan Rio de Janeiro, Brazil sebagai lokasi.

“Peraturan macam tu sesuai untuk orang yang ada duit berkepuk-kepuk dalam poket.

"Kalau saya ada duit berjuta-juta, saya tak perlu minta Finas.

“Latar bagi klimaks kisah ni ialah semasa Ridzuan bertanding di Rio, sudah tentu perlu guna duit banyak,” katanya.

Tunku Mona Riza

Hidup Kembali berkisahkan Ridzuan atau nama penuhnya Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi yang mengidap penyakit cerebral palsy mencapai kegemilangannya mencapai dua pingat emas semasa di sukan Paralimpik di Brazil pada 2016.

Tunku Mona, 51, sememangnya seorang pengarah yang namanya tidak asing dalam dunia perfileman.

Dia sebelum ini pernah tampil dengan buah tangan yang banyak meraih sambutan positif pencinta filem baik di dalam mahupun luar negara, iaitu kisah mengenai anak autisme dalam Redha.

'Rekod baik'

Untuk nota, Redha pernah merangkul 11 anugerah di luar negara antaranya tiga anugerah dari Festival Filem Antarabangsa Kazan 2016, di Rusia manakala dua lagi dibolot melalui Festival Filem Filipina 2016, di Manila.

Sekitar Julai tahun lalu, Malaysiakini melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat beberapa individu berhubung dakwaan ketirisan pentadbiran dan kewangan Finas.

Namun, Tunku Mona yakin dia masih ada harapan bersandarkan rekod baiknya memanfaatkan geran daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk filem Redha dulu.

“Finas kena kaji semula mengenai syarat pemberian geran sebab tak semua pengarah ambil geran tapi tak siapkan filem mereka.

“Saya pernah pinjam BSN, ada rekod setiap sen pinjaman digunakan untuk pembikinan Redha. Bukan digunakan untuk tujuan peribadi,” katanya.

Pada masa sama, Tunku Mona memaklumkan, dia sedang berusaha mencari syarikat atau individu yang sudi menawarkan khidmat sebagai penaja bagi menampung perbelanjaan selebihnya untuk menyiapkan Hidup Kembali.

“Rugi kalau saya tak siapkan filem ni mengikut tarikh dalam kontrak Finas. Ini cerita yang boleh menaikkan martabat negara.

“Ridzuan baru-baru ini dinobatkan sebagai Atlet Para (Lelaki) Terbaik Asia 2018 kerana usahanya,” katanya.

Lihat Komen
ADS