Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Syafiq harap Misteri Dilaila dapat bawa bonus untuk kru

Pengarah filem, Syafiq Yusof, mengaku dia lebih memikirkan untuk memberi bonus kepada pekerjanya berbanding habuan sendiri apabila ditanya mengenai sasaran kutipan untuk karya terbarunya, Misteri Dilaila.

Luah pengarah itu, dia akan cukup kecewa sekiranya filem berkenaan - yang bakal menjengah pawagam mulai 21 Feb ini - gagal membeli jiwa penonton.

“Kalau tak laku, kecewa jugalah... sebab ini bukan pasal dapat kutipan banyak tapi akan menjejaskan bonus yang boleh dikongsikan kepada pekerja,” katanya.

Syafiq, 26, ditemui pada majlis tayangan perdana Misteri Dilaila di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya baru-baru ini.

Namun, kata pemilik nama penuh Mohd Syafiq Mohd Yusof itu, dia tidak meletakkan sebarang sasaran mengenai kutipan Misteri Dilaila.

Syafiq juga mengaku dia berlapang dada jika ada yang membandingkan hasil pulangan yang diterima daripada filem tersebut dengan karya abangnya, Syamsul Yusof.

“Selalunya yag laku tu filem abang saya. Saya punya selalu turun dan naik. Tapi saya tawakal, dah buat terbaik yang mampu pun,” katanya.

Guna formula luar

Mengulas cabaran menyiapkan Misteri Dilaila, Syafiq berkata kepayahan menyiapkan skrip filem berkenaan ibarat menjawab ujian matematik.

Tambahnya, dia juga perlu mengambil masa agak lama untuk menghasilkan skrip filem itu secara keseluruhan.

“Skrip begitu rumit macam buat formula matematik. Ubah yang di depan, yang belakang terkena, ubah lain terkena yang lain.

“Saya banyak merujuk formula filem thriller dari Korea dan Eropah bagi menambah rasa,” katanya.

Misteri Dilaila berkisah suami iaitu Jefri - watak dibawa Zul Ariffin - dan isterinya Dilaila (Elizabeth) bercuti di sebuah banglo di Bukit Fraser, Pahang.

Jefri kehilangan Dilaila secara tiba-tiba dan dia kemudian diganggu pelbagai kejadian aneh semasa berusaha mencari isternya.

Filem usahasama Skop Productions dan Astro Shaw ini menjalani penggambaran di Bukit Fraser, Pahang.

Selain Zul dan Elizabeth, karya itu turut dibarisi pelakon seperti Rosyam Nor, Sasqia Dahuri dan Namron.

Ia akan ditayangkan di 131 pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.

Lihat Komen
ADS