Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Sebut sahaja nama Allahyarham Sudirman Haji Arshad, pasti peminat muzik tanah air akan terkenang lagu “tanggal 31”, “hujan”ataupun “salam akhir”.

Pada 22 Febuari ini, genap 27 tahun pemergian beliau yang pernah berjaya mendapat anugerah penyanyi terbaik Asia di London pada 1989.

Setiap cerita yang kedengaran semuanya mengagumi kehebatan penghibur rakyat yang meninggal dunia pada usia 37 tahun itu.

Ketika kematiannya, ramai yang menuturkan pelbagai “janji manis” kerana kejayaannya ketika menjadi penyanyi negara. Bagaimanapun “janji hanya tinggal janji”.

Semua kisah ini dikongsikan oleh wartawan senior yang pernah rapat dengannya iaitu Saodah Ismail ketika majlis pelancaran bukunya “Sudirman yang kukenali”.

Legenda Sudirman

“Saya tulis kerana tak mahu legenda Sudirman itu hilang begitu sahaja sebab Sudirman, waktu meninggal dia ini seperti orang mandikan dengan janji.

“Bila dia meninggal, semua orang janji, nak buat itu, nak buat ini. Ada nak buat institusi, galeri, muzium, Jalan Sudirman, kononnya biasiswa sudirman untuk yang berbakat besar tapi kita tengok sendiri lama kelamaan tak ada.

“Muzium tak ada… dan kubur Sudirman hanya kelab peminat dan keluarga yang jaga,” katanya dalam sidang media ketika pelancaran buku itu di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), hari ini.

Menurutnya, satu penghargaan khusus harus diberikan kepada Sudirman seperti yang diterima oleh allahyarham P Ramlee.

Menurut Saodah, perkenalannya dengan Sudirman pada tahun 1981 ketika beliau menjadi wartawan hiburan di Berita Harian.

Beliau terpanggil untuk bercerita mengenai Sudirman selepas menyedari bahawa banyak hal mengenai kemuliaan peribadi sahabatnya itu yang tidak diketahui ramai.

Penulisan buku Sudirman bukan berbentuk biografi, sebaliknya, ia sebuah naskhah yang hanya bercerita mengenai pengalaman Saodah dalam mengenali Sudirman.

“Saya kongsi semuanya, apa yang saya tahu sebab saya seorang kawan sebab itu judulnya, Sudirman yang kukenali,” katanya.

Saodah yang lebih mesra dipanggil Odah berkata, bab yang paling sukar dikarang pada buku tersebut berkaitan kematian Sudirman.

“Bahagian kematian kerana itu memang sedih sebab semua masih segar dalam ingatan saya, hari meninggal, hari Sabtu dengan pakai biasa sahaja bila bos bagi tahu dia meninggal.

“Saya tak percaya kerana banyak khabar angin yang kata dia dah meninggal tapi bila ramai bagi tahu dia meninggal, ketika mahu ingat balik, (waktu) ikut ke Temerloh, saya sangat sedih,” kongsinya.

Wartawan sahabat pada seseorang

Justeru Saodah berkata, kejayaannya menerbitkan buku tersebut diharap dapat menjadi inspirasi kepada wartawan lain untuk menerbitkan buku.

“Wartawan itu bukan sekadar melaporkan, dia kawan dan sahabat (kepada seseorang), ia pengembaraan wartawan dengan artis atau sesiapa sahaja, tentu mengenali dia lebih dari saudara dan wartawan itu tentu boleh menulis dengan baik.

“Saya harap buku ini membuka jalan kepada wartawan untuk menerbitkan buku,” katanya.

Hadir sama ketika pelancaran buku itu Sasterawan Negara A Samad Said, Anggota Parlimen Masjid Tanah Mas Ermiyati Samsudin, Pengerusi penerbitan Khutubkata Budiman Mohd Zuhdi dan personaliti hiburan Aznil Nawawi.

Selain memuatkan pengalaman peribadinya, Saodah juga turut menemubual sahabat-sahabat dan kenalan Sudirman seperti penulis lirik terkenal, Habsah Hassan, bekas pengurus Sudirman, Dharanee, bekas pegawai di syarikat rakaman EMI, Norisah Sulaiman dan ramai lagi.

Buku setebal 150 muka surat itu diterbitkan oleh Khutubkata.

Lihat Komen
ADS