Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aliff Syukri berazam 'gembirakan' arwah bapa
Diterbitkan:  Mar 1, 2019 3:31 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

Kehilangan bapa buat selama-lamanya tidak menghalang Aliff Syukri Kamarzaman memasang azam untuk terus mengejar pahala demi ‘menggembirakan’ allahyarham bapanya.

Usahawan kosmetik itu berharap amalan dilakukannya nanti mampu mententeramkan Kamarzaman Kamaludin yang baru meninggal dunia pada 27 Feb lalu.

“Abah, saya berjanji dengan diri saya, saya akan buatkan abah umrah setiap tahun selagi saya mampu.

“Saya akan berusaha untuk wakafkan rumah anak yatim atau tahfiz untuk abah saya Kamarzaman bin Kamaludin,” katanya di Instagram malam tadi.

Aliff yang juga penyanyi lagu Biar Apa Orang Kata itu berkata, dia juga akan menjadi seorang muslim yang tidak mengejar duniawi dan meninggalkan akhirat.

“Saya akan sembahyang dan tidak lalai dengan dunia. Saya buat semua ni sebab nak abah 'mewah' di sana,” katanya.

Kamarzaman menghembuskan nafas terakhir selepas bertarung nyawa akibat menghidapi masalah penyakit jantung tahap tiga dan paru-paru berair.

Aliff sebelum itu berkongsi di media sosial, bapanya mengadu mengalami sakit dada ketika berada di kampung selama dua minggu dan tiba-tiba muncul di kediamannya baru-baru ini.

Perkongsian impian Aliff itu juga diiringi sebuah klip video memaparkan kenangan yang dirakam bersama arwah termasuk detik-detik terakhir dia menyuap nasi dengan tangan ke mulut bapanya itu.

Selain bapanya, menurut Aliff, amalannya itu juga bertujuan demi memenuhi impian ibunya, Rozita Ibrahim, yang juga seorang ahli perniagaan yang menginginkan dia menjadi anak solehah.

“Saya nak mak @bondarozitaibrahim bangga ada anak macam saya, (bukan saja) kaya raya dunia (tapi) di akhirat,” katanya.

Lihat Komen
ADS