Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Zul Zivilia disyaki 'makan gaji' dengan Cassanova
Diterbitkan:  Mar 12, 2019 12:31 PM
Dikemaskini: 4:31 AM

Penangkapan vokalis Zivilia, Zul, membuka jalan kepada polis Indonesia mengenal pasti 'tauke' yang mendalangi jaringan pengedaran dadah berkenaan.

Ketua Perhubungan Awam Polis Daerah Metro Jaya, Argo Yuwono, berkata suspek yang berada di peringkat atas jaringan berkenaan dikenalli sebagai Cassanova.

“Ketika ini polis semakin hampir mengesan lokasi tempat dia bersembunyi,” katanya seperti dipetik Tempo.

Bagaimanapun, ditanya lebih lanjut mengenai Cassanova, Argo enggan memberikan lebih banyak maklumat kerana ia masih disiasat dengan teliti.

Sebaliknya dia cuma memaklumkan polis yakin Cassanova masih berada di Indonesia.

Argo berkata, jaringan pengedaran dadah melibatkan Zul bergerak melalui sistem tertutup.

"Pengedar utama dengan peringkat bawahan tidak mengenali antara satu sama lain," katanya.

Boleh dihukum mati

Setakat ini kata Argo polis mengenal pasti sembilan orang sebagai suspek jaringan tersebut.

Rangkaian pengedaran dadah itu terbongkar melalui operasi polis Jakarta Utama dan Palembang mulai 28 Feb hingga 2 Mac lalu. Melalui operasi khas itu sembilan orang ditahan, termasuk Zul.

Dia diberkas bersama tiga suspek lain - seorang daripadanya wanita - di sebuah pangsapuri di Kelapa Gading, Jakarta Utara.

Hasil penangkapan Zul, polis menyita pelbagai barang bukti termasuk 9.5kg syabu dan 24,000 pil ekstasi.

Secara keseluruhan syabu disita mencecah 50.6kg dan 50,000 biji ekstasi. Turut dirampas, wang tunai bernilai lebih Rp310 juta (RM890,000).

Zul, 37, didapati positif menggunakan dadah dalam penangkapan tersebut bersama lapan suspek lain. Mereka berdepan hukuman mati mengikut undang-undang antidadah Indonesia.

Zivilia ditubuhkan pada 8 Ogos 2008 di Kota Kendari, Sulawesi Tenggara, Indonesia. Tetapi di awal kemunculannya, ia dikenali dengan nama asal Teplan Band.

Antara lagu awal dibawakan Zivilia adalah Aisheteru dan Karena Cinta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS