Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Karyawan harap kementerian selesaikan isu royalti artis

ULASAN | Sudah 19 tahun Akta Hak Cipta dipinda untuk memberi hak kepada pelaku atau artis dan pemuzik untuk mengutip royalti daripada penggunaan karya mereka di tempat awam.

Malangnya, cara perlindungan yang diberikan pihak tertentu kurang memuaskan. Ini berlaku kerana sejak akta berkenaan dipinda pada 2000, artis tidak diberi peluang untuk mengendalikan hal royalti mereka.

Sejak awal pindaan akta tersebut, pihak syarikat rakaman telah menguasai hampir kesemua aspek kutipan dan pengedaran royalti bagi pihak artis.

Apa yang lebih rumit lagi, kebanyakan artis tidak mengambil berat tentang perkara itu walaupun ia melibatkan lebih RM100 juta setiap tahun untuk industri muzik secara keseluruhan.

Kebanyakan artis - termasuk yang popular ; mungkin layak mendapat ratusan ribu ringgit - masih tidak sedar tentang hak mereka.

Jika ada yang faham pun mereka tidak tahu macam mana sepatutnya bertindak untuk menuntut hak masing-masing.

Kewujudan dua badan yang mewakili artis dalam perkara ini - iaitu Recording Performers Malaysia Bhd (RPM) dan Prism Bhd (Prism) - menambahkan lagi kekeliruan serta kerumitan isu ini.

Hak artis masih dinafi

Selain RPM dan Prism pula ada dua badan yang lain yang sedang beroperasi untuk mengutip dan mengedarkan royalti kepada anggota masing-masing iaitu Music Authors’ Copyright Protection (MACP) yang mewakili komposer serta penerbit, dan serta Public Performance Malaysia (PPM) yang mewakili syarikat rakaman.

Bagi menyelesaikan kemelut yang wujud berdasarkan aduan yang diterima daripada orang awam mengenai kewujudan terlalu banyak badan pengutipan yang tidak diselaraskan kerajaan dahulu telah mengarahkan semua badan kutipan bergabung di bawah satu badan yang dinamakan Music Rights Malaysia Bhd.

Walaupun gabungan itu berjaya dilaksanakan, hak artis masih dinafikan kerana kekeliruan diatas kewujudan dua badan yang mewakili golongan artis.

Perkara ini merumitkan proses pengagihan royalti artis yang dikutip oleh MRM kerana jumlah yang patut diberi kepada ahli di bawah dua badan tersebut tak dapat ditentukan kerana tiada kerjasama di antara dua badan itu.

Keadaan itu juga menyebabkan proses analisis tidak dapat dijalankan dengan sewajarnya.

Baru-baru ini satu daripada dua badan tersebut iaitu Prism diarah menutup operasinya oleh mahkamah kerana gagal membayar ganti rugi seperti yang diarahkan.

Prism sepatutnya membuat pembayaran kepada badan milik syarikat rakaman iaitu PPM.

Harapan semua pihak dalam industri ini ialah menantikan sesuatu yang sepatutnya membantu ke arah penyelesaian masalah dua badan berbeza yang mewakili artis ini.

Sudah pasti jika hanya satu badan yang tinggal - iaitu RPM yang akan mewakili artis-artis - semua pihak yang berkaitan akan dapat disatukan di bawah bendera RPM.

Tidak perlu lagi royalti dibahagikan kepada dua badan yang berasingan.

Tetapi perkara ini tidak berlaku. RPM menentukan syarat kepada anggota Prism bahawa mereka harus mendapat surat pelepasan sebelum mereka diterima sebagai anggota RPM.

Bagi anggota Prism, ini merupakan sesuatu yang tidak masuk akal dan mustahil kerana badan itu menutup operasinya, manakala pejabatnya tidak lagi berfungsi.

Kebanyakan anggota Prism amat kecewa dengan sikap RPM dan bagi mereka, tidak munasabah untuk badan itu meminta sesuatu yang mustahil.

Keadaan bertambah rumit apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil pendirian walaupun mahkamah sudah mengarahkan Prism ditutup, lesen mereka masih sah selagi Jabatan Insolvensi dan “receiver” tidak mengisytiharkan ia ditutup.

Proses ini mungkin ambil beberapa tahun dan jika KPDNHEP meneruskan dengan pendirian ini, sudah pasti artis tidak akan dapat sebarang royalti sehingga perkara tersebut diselesaikan.

Kerjasama KPDNHEP dan RPM

Pada masa yang sama RPM masih bertegas bahawa mereka tidak akan menerima bekas anggota Prism selagi lesen badan itu belum dibatalkan oleh kementerian.

Akhirnya sudah pasti artis tidak akan mendapat royalti mereka hasil kutipan MRM untuk 2017 dan 2018 yang kami difahamkan sudah melebihi RM16 juta.

Justeru, Karyawan menyeru kerajaan mengambil tindakan tegas dan drastik untuk membatalkan lesen Prism dengan serta-merta kerana mereka tidak menepati syarat-syarat perlesen dan gagal menjalankan operasi mengutip dan mengagih secara sempurna.

Pada masa sama, Karyawan berharap RPM akan terus menerima mana-mana bekas ahli Prism sebagai anggota mereka walapun tanpa sebarang surat daripada Prism.

Surat adalah sesuatu yang tidak dapat dikeluarkan kerana Prism kini tidak memiliki pejabat sendiri.

Bagi kami sepatutnya memadai untuk mereka membuat pengisytiharan bahawa berniat mahu membatakan keanggotaan dalam Prism dan meyertai RPM.

Hanya dengan kerjasama KPDNHEP dan RPM perkara ini dapat diselesaikan dan semua artis yang berhak akan mendapat royalti selaras dengan peruntukan Akta Hak Cipta.

Jika tidak kami bimbang perkara ini akan berlanjutan beberapa tahun lagi yang akhirnya yang menanggung kerugian sehingga berjuta-juta ringgit ialah artis.


FREDDIE FERNANDEZ merupakan  Presiden Persatuan Karyawan Malaysia.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis atau organisasi yang diwakilinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS