Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Buya Hamka 'hadir' untuk sejukkan Indonesia
Diterbitkan:  Mar 26, 2019 3:26 PM
Dikemaskini: 10:53 AM

Kisah Allahyarham Buya Hamka atau nama sebenarnya Prof Abdul Malik Abdul Karim Amrullah yang dikenali sebagai seorang penulis dan ulama terkenal Indonesia perlu ‘hadir’ untuk menyejukkan keadaan semasa Indonesia.

Menyokong kenyataan itu, Fajar Bustomi, pengarah yang diberikan kepercayaan membawa filem Buya Hamka ke layar perak berkata, ia sesuai berdasarkan situasi Indonesia yang diperhatikannya sejak akhir-akhir ini.

“Saya rasa perlu hadir susuk seperti beliau untuk menyejukkan Indonesia," katanya seperti dipetik CNN Indonesia.

Fajar yang berjaya meraih 6.3 juta penonton melalui filem Dilan 1990 (2018)  menambah, salah satu daripada nukilan Buya Hamka juga membekas di ingatannya.

"Seorang muslim yang baik harus menghargai dan menghormati seluruh makhluk dan manusia yang berbeza agama,” katanya.

Buya Hamka merupakan Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI) yang pertama. Beliau juga merangkap sasterawan dan negarawan yang dihormati ramai termasuk di Malaysia. Beliau meninggal dunia ketika berusia 73 tahun.

Individu bertanggungjawab mengilhamkan karya Buya Hamka adalah mantan ketua MUI, Din Syamsuddin.

Beliau merupakan orang pertama yang menggagas biopik tokoh politik termasuk mengenai penulis kelahiran Sumatera Barat itu.

Syarikat produksi Starvasion Plus - milik Chand Parwez Servia pula bertanggungjawab untuk mengusahakan filem berkenaan.

Tanpa perlu berfikir panjang, Chand menerima tawaran yang diberikan kepadanya pada 4 November 2014.

Menurut Chand, buat pertama kali, sebuah syarikat produksi bekerjasama dengan MUI untuk menghasilkan filem.

"Buya Hamka adalah orang yang terkenal ketokohannya. Tapi apa yang kita berikan [semoga bisa jadi] pencerahan dan inspirasi bagi kita semua," katanya.

Bagaimanapun, kata Chand, naskhah itu melalui proses panjang terutama pada bahagian penulisan.

Menurutnya, ia juga perlu disemak hingga berkali-kali ekoran ada saja dirasakan tidak kena.

“Penulisan skrip siap selepas tiga tahun lamanya,” katanya.

Penulisan diserahkan kepada Alim Sudio, seorang penulis yang pernah menghasilkan naskhah seperti Ayat-Ayat Cinta 2, Surga yang Tak Dirindukan, Guru Ngaji dan Ranah 3 Warna.

Pelakon yang bakal menjayakan watak Buya Hamka pula jatuh ke tangan Vino G Bastian.

Vino juga membuat persediaan awal dengan membaca novel-novel karangan Buya Hamka seperti Di Bawah Lindungan Ka'bah dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS