Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Wadah Pencerdasan Umat (Wadah) bersama Universiti Islam Antarabangsa (UIA) bersama-sama menganjurkan majlis deklamasi sajak bagi mengenang  peristiwa berdarah Christchurch di New Zealand, yang diadakan di universiti itu di Gombak hari ini.

Majlis berkenaan menampilkan 21 penyajak bagi mendeklamasikan sajak sebagai tanda hormat akan mangsa tragedi berdarah yang mengorbankan 50 nyawa.

Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti, Prof Dr Zulkifli Hasan berkata, majlis itu juga dianjurkan bagi memupuk sifat prihatin masyarakat.

“Majlis ini merupakan aspirasi dari pihak universiti untuk menzahirkan semangat kemanusiaan.

“Jadi kami (penganjur) meningkatkan semangat kemanusiaan ini dalam bentuk seni agar dapat berkongsi duka serta mewujudkan masyarakat yang mementingkan keamanan," katanya.

Dalam majlis sama, turut dirasmikan program 'Awaspada', iaitu pemnatauan media sosial dan permainan dalam talian sebagai kempen agar masyarakat  lebih berhati-hati dalam penggunaan teknologi berkenaan.

“Awaspada diadakan untuk menyedarkan masyarakat bahawa media sosial ada manfaat dan mudaratnya,” kata Prof Dr Mohamad Fauzan Noordin selaku ahli jawatankuasa Wadah.

Jelas Fauzan, kebimbangan timbul kerana kerajaan tidak mengemukakan garis panduan yang jelas berhubung permainan video yang popular dalam kalangan masyarakat.

“Seperti yang kita lihat, mereka (kerajaan) menggalakkan e-sukan, tapi tiada garis panduan.

“Kita bukan nak haramkan, cuma kita hendak mengaplikasikan garis panduan agar dapat digunakan dengan cara yang betul," katanya.

Sebelum ini, terdapat pandangan termasuk dari Mufti Negeri Sembilan Mohd Yusof Ahmad yang mengaitkan permainan video atas talian sebagai mendorong kepada keganasan.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman bagaimanapun tidak bersetuju dengan pandangan berkenaan dan menjelaskan tindakan ganas didorong fahaman ektremisme dan bukannya permainan video.

Antara yang hadir dalam majlis bacaan sajak hari ini ialah penggiat sastera Samsudin Osman, penggiat bahasa Prof Dr Awang Sariyan, dan penulis Mohd Fudzail Mohd Nor.

Lihat Komen
ADS