Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
George Clooney gesa hotel milik Brunei diboikot
Diterbitkan:  Mar 30, 2019 1:01 PM
Dikemaskini: 5:01 AM

Pemenang Oscar, George Clooney menggesa hotel-hotel mewah dimiliki Brunei termasuk Beverly Hills diboikot berikutan langkah kerajaannya melaksanakan hukuman rejam kepada penzina dan pelaku seks sesama jenis.

Brunei bakal melaksanakan undang-undang syariah itu pada 3 April termasuk hukuman rejam sampai mati dan sebat terhadap kesalahan liwat, zina dan rogol.

Syarikat Pelaburan Brunei memiliki sembilan hotel di Amerika Syarikat dan Eropah, termasuk hotel Beverly Hills, Dorchester di London dan Plaza Athenee di Paris.

Clooney menerusi ruangan pendapat disiarkan laman web Deadline.com berkata setiap kali menginap di hotel itu, ia seolah-olah memberikan wang kepada pihak yang merejam sehingga mati kepada gay atau penzina.

Bagaimanapun Syarikat Pelaburan Brunei dan Pejabat Perdana Menteri Brunei tidak memberikan respons mengenai kenyataan itu semalam, lapor Reuters.

Clooney mengakui langkah itu hanya memberikan kesan sedikit terhadap kemungkinan undang-undang berkenaan akan diubah semula.

Bagaimanapun beliau menambah: "Anda boleh memalukan bank, pembiaya dan institusi yang menjalan perniagaan dengan mereka dan memilih untuk melihat cara lain," katanya.

Pendapat Clooney untuk memboikot hotel tersebut turut disokong pengarah filem Dustin Lance Black dan penyanyi Amerika Rufus Wainwright dan Belinda Carlisle melalui hashtag #BoyycottBrunei.

Ahli politik dari Britain, Eropah serta badan hak asasi Amnesty International turut menolak cadangan hukuman tersebut dan menyuarakan kembimbangan terhadap langkah Brunei.  

Lihat Komen
ADS