Paling Popular
Terkini

Akhirnya kini rasmi jawatan rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) bukan lagi disandang tokoh kontroversi, Dr Mohd Rizon Juhari.

Seorang lepasan Institut Teknologi Mara (ITM) Prof Madya Sahar Sa'adi Hashim, kini dilantik mengisi jawatan berkenaan selepas Mohd Rizon sebelum ini dilaporkan bercuti.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Aswara, Rashidi Hasbullah, Sahar dilantik Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Mohamaddin Ketapi.

“Pada menjalankan kuasa di bawah Seksyen 13(1) Akta Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan, Mohamaddin Ketapi, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya telah melantik Prof Madya Sahar Sa’adi Hashim sebagai rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan yang baru,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Menurut Rashidi, Sahar dilantik memegang jawatan berkenaan bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa secara rasmi hari ini sehingga 31 Mac 2021.

Sebelum ini Mohd Rizon melepaskan jawatannya secara sukarela hanya selepas beberapa bulan kontraknya dilanjutkan Motac.

Sahar merupakan pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang muzik dari ITM (kini dikenali sebagai UiTM).

Yakin mampu pamer mutu

Beliau juga memiliki ijazah sarjana dalam bidang etnomuzikologi dari Middlesex University of London dan mempunyai pengalaman selama 25 tahun dalam pelbagai bidang berasaskan pendidikan dan kesenian.

Antaranya sebagai anggota Orkestra Radio Televisyen Malaysia, pegawai kebudayaan UiTM, timbalan dekan (pembangunan dan inovasi) di Sekolah Pengajian Seni Universiti Malaysia Sabah dan pengarah Pusat Kesenian dan Warisan Universiti Sultan Zainal Abidin

Rashidi juga menjelaskan Motac yakin Sahar mampu mempamerkan mutu kepimpinan yang tinggi selaras dengan kredibilitinya.

“Kelayakan, pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki oleh Sahar akan membolehkan beliau menjalankan tanggungjawab dengan berkesan dan mampu meneruskan kecemerlangan Aswara sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang berasaskan kesenian, kebudayaan dan warisan yang terbaik di dalam dan luar negara,” katanya.

Terdahulu, Aswara berdepan kemelut bagi penyandang jawatan rektornya selepas sekumpulan pelajar melancarkan petisyen dalam talian membantah kontrak Mohd Rizon yang disambung selama dua tahun bermula awal Januari lalu. 

Pelbagai ketidakpuasan hati juga disebut-sebut dalam kalangan segelintir pelajar dan kakitangan Aswara semasa Mohd Rizon menjadi rektor.

Lihat Komen
ADS