Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nasir Jani ajar makna berontak dengan Pemberontak Filem

ULASAN BUKU | Kesesakan lalu-lintas di laluan menuju berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) sedikit sebanyak melegakan hati yang selalu digundahkan oleh kebebalan sesetengah orang kita mencerakinkan isu-isu semasa.

Terlalu banyak watak yang menyakitkan hati sedang beraksi di bumi Malaysia ini. Daripada menteri hinggalah orang yang bersembunyi di sebalik nama-nama tertentu dan bekerja untuk memakin orang itu dan orang ini di media sosial.

Dan di dalam dewan berlangsungnya PBAKL juga ada banyak karya yang mencerdaskan. Salah satunya ialah buku Pemberontak Filem oleh Nasir Jani.

Ia adalah buah tangan terkini pengarah yang dikenang ramai dengan Kembara Seniman Jalanan bikinannya itu.

Nasir menghasilkan beberapa filem dan banyak menulis, tapi Kembara Seniman Jalanan itu jugalah yang disebut-sebut orang. Hal itu kerana ia adalah sebuah naskhah yang tersendiri dan berdiri di luar kelompok sedia ada.

Namun sesekali Nasir menghasilkan buku, kesannya memang terasa juga.

Pemberontak Filem ialah kumpulan tulisan Nasir yang pernah diterbitkan dan membincangkan pelbagai isu yang berlegar di sekitar dunia perfileman.

Maknanya Nasir bercerita tentang sesuatu yang dia benar-benar tahu.

Antara fakta dan legenda

Namun Pemberontak Filem bukan sekadar tulisan-tulisan Nasir.

Koleksi karangan pendek itu diapit oleh empat catatan ringkas daripada empat tokoh yang dihormati ramai. Pertama, U-Wei Haji Saari. Kedua, Namron. Di hujung buku ada pula Al Jafree Md Yusop dan Madnor Kassim.

Dan di situlah bonus untuk naskhah berkenaan.

Sebelum anda menelaah siri tulisan Nasir, luangkan masa membaca pandangan serta catatan mereka.

Misalnya U-Wei yang bercerita tentang Nasir dan hubungannya dengan mitos dan legenda.

Pengarah Jogho dan Hanyut itu bercakap tentang kejadian Nasir berbaju T dengan kata-kata mencarutkan Dr Mahathir Mohamad ketika hadir di mahkamah beberapa dekad lalu.

"Semua orang tertarik dengan mitos. Mitos membuat orang teruja," tulis U-Wei.

Dia juga memetik kata-kata daripada watak Maxwell Scott dalam filem The Man Who Shot Liberty Valance: "Apabila legenda menjadi fakta, tuliskan legendanya."

Sedikit sebanyak, Nasir Jani hari ini - dengan warna-warni yang dilakarkannya selama ini - adalah gabungan fakta, mitos dan legenda itulah.

Nurul Izzah antara tokoh yang mendapatkan Pemberontak Filem di PBAKL

Daripada catatan Namron pula kita dapat tahu Nasir pernah hadir secara fizikal di belakang kamera yang merakamkan filem One Two Jaga.

Nasir bukan pengarah atau kru untuk produksi yang baru saja dinobatkan sebagai filem terbaik dalam festival filem Malaysia (FFM) baru-baru ini. Tetapi semasa Namron mengarahkan One Two Jaga, Nasir datang.

Al Jafree pula bercerita mengenai watak paling diingat orang dalam Kembara Seniman Jalanan, iaitu Osman Tikus.

Mahu Nasir yang dulu

Osman bukan watak utama filem itu, tetapi orang lebih banyak terkenangkan Osman berbanding yang lain-lain. Semuanya gara-gara Nasir Jani itulah.

Pemberontak Filem kemudian ditutup oleh catatan Madnor Kassim. Siapakah dia? Madnor Kassim ialah pemenang dua anugerah sinematografi terbaik FFM dan pernah memulangkan trofi berkenaan sebagai tanda bantahannya terhadap penganjura FFM pada 2016.

Mauduk Mdnor dalam catatan itu ialah, Nasir yang menulis buku Pemberontak Filem itu bukanlah Nasir yang biasa-biasa.

"Sebenarnya saya mengharapkan Abang Nasir kembali melawan dalam karyanya. Kembali sebagai Nasir Jani yang dahulu, bukan Nasir Jani yang baru atau Nasir Jani yang lain," tulisnya.

Kesimpulannya?

Pemberontak Filem ialah tentang kisah-kisah berani dan melawan. Ia terangkum dalam rencana ditulis Nasir dan diapit oleh penulis-penulis jemputan yang terpilih.

Maka, adakah Nasir kembali bikin kecoh macam dulu?

Tidak juga. Dia cuma bersuara macam dia biasa lakukan sebelum ini. Dan dengan itu harapan kita untuk melihat lebih banyak filem yang ada jiwa muncul akan tetap ada.

Judul: Pemberontak Filem

Penulis: Nasir Jani

Penerbit: Rabak-Lit

Tebal: 375 halaman

Harga: RM35

Lihat Komen
ADS