Paling Popular
Terkini

Rasanya tidak ada seniman yang lebih degil daripada Shaimy Hashim iaitu yang dipertua Gabungan Persatuan Pelukis Semalaysia dan juga presiden Persatuan Seni Lukis Dan Seni Reka Pahang (Senika).

Berasal daripada keluarga yang senang tetapi beliau memilih untuk hidup sebagai seorang seniman.

Bolehlah dikatakan Shaimy itu seorang seniman yang berkarya kerana cintanya yang mendalam terhadap seni pilihannya. Tidak saya temui seorang seniman yang sanggup bersusah-payah seperti beliau mempertahankan kecintaannya kepada dunia seni catan ini.

Shaimy bukan sahaja pelukis tetapi juga bertanggungjawab mengerakkan persatuan seni lukis di seluruh negara dengan mengadakan banyak acara yang mengumpulkan ahli-ahli persatuan.

Usaha itu menjadikan ahli-ahli persatuan seni lukis di seluruh negara saling kenal dan menjadi akrab.

Saya sendiri bermula dengan Senika.

Ketika masih muda belia, saya terpandang iklan tentang kelas asas seni lukis. Bersama Abu dan Kepuk, saya pun menyertai kelas berkenaan.

Di kelas berkenaanlah pertama kali saya berkenalan dengan seniman degil itu. Beliau sendiri mengajar kelas berkenaan, dan apabila mendaftar sebagai pelajar, secara automatik kami menjadi ahli persatuan Senika.

Terawal buka studio

Walaupun sering mendapat surat pemberitahuan tentang mesyuarat, acara dan sebagainya, hanya pada 2007 barulah saya agak aktif mengikuti aktiviti Senika.

Shaimy memulakan karier seninya pada tahun-tahun 1970-an. Sering kami dengar bagaimana sewaktu mula-mula berkarya beliau akan duduk di stesen bas di bandar kuantan untuk menanti pelanggan menempah potret.

Waktu itu - menurut beliau - orang ramai masih malu-malu untuk duduk sebagai model. Biasanya mereka akan mengintai dari jauh.

"Lima puluh sen sekeping," jawab beliau sambul ketawa besar apabila ditanya berapakah upah yang diterima untuk sekeping lakaran potret pada waktu itu.

Lima puluh sen adalah harga yang sangat kecil untuk sebuah karya seni walaupun pada tahun-tahun 70-an.

"Paling mahal pernah dibayar, adalah RM5," tambah beliau.

Menurutnya lagi, ia dibayar oleh Noraini Othman iaitu kakak kepada pelukis Abu Yusof. Abu Yusof ialah salah seorang pelukis terawal menyertai Rajawali Art Group Internationale.

Sedikit trivia: Noraini Othman atau Kak Ani jugalah orang yang bertanggungjawab memberi dorongan kepada Abu Yusof - dan saya sendiri - untuk terus melukis. Setiap lukisan yang kami hasilkan akan dipamerkan di butik tempat beliau berniaga. Dari situlah kami mula memasarkan kerja kami. Terima kasih Kak Ani.

Shaimy juga orang yang paling awal membuka studio lukisan di bandar Kuantan selain Osman Limat.

Studio Shaimy terletak di bangunan Medan Pelancong yang kini telah diroboh dan dibina sebuah taman bunga dengan Menara Teruntum sedang dibina berhampiran tapak berkenaan.

Selain sangat aktif melukis beliau adalah manusia persatuan. Hidup beliau adalah persatuan. Dari awal penubuhan Senika yang kini berusia lebih 30 tahun, beliau bersama Hasnah Yusof - yakni isteri beliau - bersungguh-sungguh menggerakkan persatuan itu.

Tanggung derita hingga kini

Mereka berdua adalah pasangan yang secocok. Kedua-dua mereka memberikan komitmen 100 peratus untuk membangunalkan seni catan di kuantan dan juga seluruh negara.

Di mana saja diadakan acara persatuan maka akan kelihatanlah kelibat pasangan berkenaan.

Mutakhir ini tahap kesihatan kedua-dua mereka agak rendah, namun mereka gagahkan juga kudrat masing-masing memanjat tangga pejabat persatuan bagi menguruskan kerja-kerja yang tertangguh.

Pernah satu ketika Shaimy menghadapi satu penyakit yang memerlukan pembedahan dan ianya memerlukan belanja yang agak tinggi.

Apabila wang yang diperlukan diperolehi, persatuan pula menghadapi sedikit tekanan dalam hal wang ringgit. Shaimy tanpa berfikir panjang telah mendahulukan wang yang sepatutnya digunakan untuk rawatan beliau kepada persatuan.

Sudahnya, beliau sehingga kini menangguhkan pembedahan yang sepatutnya akan melegakan kesakitan itu.

Pengorbanan demi pengorbanan yang beliau lakukan kepada seni catan negara seharusnya dipandang. Dan beliau selayaknya diberikan sedikit keselesaan untuk berkarya.

Karya-karya Shaimy menjurus kepada surealisme dan saya adalah peminat karya-karya beliau. Antara karyanya yang terkenal ialah Mimpi Keranda 152 (Perasap Semangat) yang dihasilkan pada 2009.

Ia adalah mengenai episod duka bahasa Melayu pada tahun 1967 dan Shaimy sendiri seorang yang sangat kuat perjuangannya.

Terkejut lihat lukisan

Jangan cari fasal berbual mengenai politik dengan beliau.

Shaimy akan dengan sangat bersemangat bercerita hingga kita bimbang beliau akan pengsan akibat sesak nasaf kerananya. Begitulah bersemangatnya beliau apabila membicarakan hal politik negara ini.

Karya-karya lain beliau termasuk Telur Di Hujung Tanduk (1986), Khutbah (1989) dan Aku, Pak Dogol Dan Arca Penyair Macedonia (2010) adalah juga cerita perjuangan dan situasi politik semasa.

Beliau kuat mengkritik dalam karya-karyanya namun ia dilakukan dengan bersahaja.

Pada 2010 Shaimy dipilih untuk berkarya di Macedonia dan di sanalah beliau berkembara selama lebih satu bulan.

Hasil daripada pengalaman itu, karya-karya beliau - walaupun masih kritis - mula kelihatan lebih ceria. Jika awalnya karya beliau menggunakan warna-warna agak kusam, sekembalinya dari kembara itu, warna-warna yang mengembirakan menjadi pilihan.

Saya lihat sehingga hari ini beliau masih mengekalkan pengunaan warna-warna berkenaan.

Seorang pelukis muda yang saya temui agak terperanjat ketika mula-mula melihat karya Shaimy. Pelukis berkenaan tidak menyangka karya-karya sangat baik itu dihasilkan oleh seorang pelukis senior.

Dan pelukis berkenaan ialah Shaimy, si lelaki berambut putih yang - jika kamu ikhlas - lebih kelihatan sebagai seorang kerani pejabat kerajaan yang sudah pencen berbanding seorang pelukis dan juga pengerak seni catan negara.

Sekarang ini kesihatan Shaimy sering terganggu. Beliau sering berulang-alik ke hopital untuk rawatan. Baru-baru ini beliau dimasukan ke wad di hospital kuantan disebabkan oleh jangkitan kuman pada paru-paru.

Bersama-samalah kita doakan agar beliau diberikan kesihatan yang sempurna kerana kita semua memerlukan orang yang degil seperti beliau sebagai pemberi semangat dalam menjalani hidup sebagai seorang pengkarya.

Shaimy Hashim mencurahkan segala keringat sihatnya kepada seni catan negara. Kini pada masa uzurnya, diharapkan kita semua melakukan sesuatu bagi menghargai jasa-jasa yang beliau curahkan itu.


ABDULLAHJONES ialah pemeriksa kira-kira Gabungan Persatuan Pelukis Semalaysia dan juga ahli jawatankuasa Persatuan Seni Lukis Dan Seni Reka Negeri Pahang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS