Paling Popular
Terkini

Di sebalik kerencaman muzik tempatan, DJ Ed mendapat tempat tersendiri dengan kelainan yang ditampilkannya.

Pemilik nama sebenar Md Zukie Md Noh, 52, menjadikan loghat Kedah sebagai 'rempah' utama dalam penghasilan karya Chokoroi, Kucing Terlekat Tulang dan banyak lagi.

“Saya bermula dengan DJ di rumah kenduri.

“Teringin nak buat kelainan sikit jadi saya ambil lagu Hindustan, olah lirik dalam bentuk seloka dan nasihat,” katanya.

Mula popular sejak tahun 2012 dengan lagu Memori Daun Ketum, DJ Ed juga sering tampil membuat persembahan di karnival serta ekspo-ekspo serata Negeri Jelapang Padi itu.

Mengapa tema lagu Hindustan yang dipilih?

“Di Kedah, kalau pergi rumah orang, mesti depa (mereka) akan sembang pasal cerita Hindustan.

“Jadi saya tumpang populariti Shah Rukh Khan, olah lagu dia jadi macam lagu saya.

“Ini kalau dia tahu, mampuih (habis) kena saman,” katanya anak jati Ayer Hitam itu.

Bagaimanapun, kini, jelas DJ Ed, dia lebih cenderung untuk menghasilkan lagu bersama melodi hasil ciptaan sendiri.

“Orang pun dah mula kenal saya. Jadi, sekarang saya dah mula gubah lagu sendiri.

“Tidak olah dari lagu Hindustan lagi,” katanya.

DJ Ed yang mula berkarya sejak awal 2003 dengan menggunakan pendekatan indie atau mandiri, percaya muzik mampu membawa keseronokan kepada pendengar.

Selain menjadi pengkarya, DJ Ed memasarkan sendiri karyanya.

Sebelum mula mendapat sambutan di media sosial, DJ Ed terlebih dulu mula dikenali dalam kalangan penduduk tempatan yang membeli cakera padat (CD) lagu-lagunya di pasar malam.

“Saya jual RM5 di pasar malam. Kos tidak tinggi, orang kampung senang beli,” katanya yang menjelaskan sudah menjual sebanyak 30,000 CD yang dihasilkan dengan duit sendiri sejak mula mendapat sambutan lima tahun lalu.

Kini DJ Eds memanfaatkan platform media sosial seperti Facebook dan Youtube untuk menyebarkan karyanya kepada pendengar.

Lagu seperti Tok Wan Sayang Cucu, yang dimuat naik di Youtube dan mula popular sejak 2016 kini mencecah 187,000 tontonan.

Berhubung lirik, DJ Ed cuba menyelitkan unsur nasihat dalam kisah yang disampaikannya.

Anak menantu pakat gheja makan gaji
Tinggai cucu konon-konon Tok Wan sunyi
Tok Wan jaga Tok Wan mengasuh haghi-haghi
Walau jantung kencing maneh darah tinggi

Sementara itu, apabila ditanya inspirasi penghasilan lagu, DJ Ed sempat tertawa kecil sebelum menjawab.

“Kita kalau orang nasihat marah-marah kita suka? Dak (tidak) kan?

“Jadi saya nasihat orang dengan lagu,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, bapa kepada tiga orang anak itu mengakui kesukaran untuk mencari rezeki dalam bidang muzik.

“Tapi la (sekarang) ni, sejak mula tahun 2012 kami dah mula aktif di media sosial.

“Dah mula orang kenai (kenal) ni, boleh lah cari makan sikit-sikit,” katanya dengan nada seperti merendah diri.

Apabila ditanya pandangannya tentang kerencaman muzik baik di arus perdana mahupun indie, Dj Ed berkata ia berbeza daripada mesej dan tema yang dibawakan.

“Pemuzik indie hari ini banyak bawa lagu cinta, lagu patah hati. Tetapi saya masih tetap kekalkan seloka nasihat dalam loghat Kedah,” katanya.

Mengulas lebih lanjut, DJ Ed menjelaskan bahawa tidak akan mengubah pendekatan dalam lagunya namun berhasrat ingin menarik peminat dari negeri lain.

“Saya akan kekalkan loghat saya (Kedah) kerana itu lah yang peminat saya suka.

“Tetapi saya ada hasrat ingin mempromosi lagu ke negeri selatan dan timur tanah air juga,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS