Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Cerai isteri mengandung boleh mudaratkan isteri, anak'
Diterbitkan:  Apr 21, 2019 2:01 PM
Dikemaskini: 6:01 AM

Menceraikan seorang isteri ketika dia sedang sarat mengandung boleh menyebabkan pelbagai komplikasi parah termasuklah mendorongnya mengambil jalan menamatkan riwayat hidup, kata Pencetus Ummah (PU) Rahmat Ikhsan.

Rahmat menegaskan, isu timbul berhubung talak dilafaz bukanlah sama ada ia dibenarkan atau tidak ketika wanita terbabit sedang mengandung.

Tetapi katanya, faktor wajar diambil kira adalah mengenai tahap kesihatan mental dan emosi wanita yang akan diceraikan.

Menurutnya, seseorang isteri yang dijatuhkan talak ketika sedang hamil boleh mengalami gangguan emosi berterusan.

“Masalah besar bukan pada talak semasa mengandung itu dibenarkan atau tidak.

"Masalah besar pada bahaya mudarat talak itu kepada isteri yang sedang mengandungkan anak si penalak.

“Emosinya ternganggu dah boleh buat dia mahu membunuh anak dalam kandungan serta bunuh diri,” ciapnya di Twitter.

Walaupun Rahmat tidak menujukan ciapan itu kepada sesiapa, dia dipercayai merujuk kepada isu perceraian seorang lagi pendakwah yang lahir daripada program realiti sama, iaitu PU Abu Sufyan.

Semalam, media melaporkan PU Abu menceraikan isterinya, Aini Afini pada Mac lalu yang sedang sarat tujuh bulan.

Bekas isterinya itu juga mendakwa perceraian itu berlaku akibat kehadiran pihak ketiga, iaitu seorang janda anak satu.

PU Abu pula berkahwin dengan janda berkenaan, selepas menceraikan Aini. Dia dilaporkan pernah memaklumkan bekas isterinya itu untuk berkahwin dengan janda terbabit sementelah perkahwinan berusia dua bulan.

Bagaimanapun, PU Abu berkata, dia mempunyai alasan kenapa berbuat demikian dan meminta diberi ruang memberi penjelasan.

Sementara itu, menurut Rahmat lagi, beberapa faktor lain juga boleh menyebabkan seorang isteri bertindak kejam ke atas diri sendiri.

“Kos bersalinnya, kos anak, nafkah, mut’ah bekas isteri dan sistem sokongan keluarga yang diperlukan oleh bekas isteri dan anak.

“Tak cukup difahami dalam kerangka teknikal fiqh. Ia perlu difahami secara sistemik kerana syariah itu suatu sistem,” ciapnya.

 Sementara itu, penyanyi Caprice - yang sering mengulas sesuatu isu panas di media sosial - juga mengulas isu sama dengan berkias, jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Caprice berkata, seseorang yang bergelar seorang pendakwah wajar menjaga gelaran mereka dengan baik.

“Tidak semesti orang berkopiah itu sempurna dan baik atau tidak semestinya orang botak pakai topi senget itu jahat.

“Tapi disebabkan ada gelaran PU atau ustaz tu anda kena jaga, anda mempunyai gelaran tanggungjawab sangat berat.

“Bila buang gelaran dia hanya seorang abu, manusia dengan dosa tak pernah jauh, sama juga lelaki dengan gatal tak pernah jauh tapi kalau dah kahwin tu gatallah dengan isteri,” katanya.

Lihat Komen
ADS