Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pengarah Shahrulezad Mohameddin mempertahankan babak akhir Nur 2 yang memberi gambaran salah satu watak wanita ditangkap polis atas kesalahan merogol lelaki.

Jelas Shahrulezad, jalan cerita itu dibuat kerana dia ingin melihat perubahan pada undang-undang di Malaysia.

“Bagi saya undang-undang kes rogol di Malaysia tidak adil kepada lelaki. Jadi saya bercakap dari sudut yang percaya ia boleh diubah.

“Mengapa tidak lelaki juga diberi hak untuk menuntut pembelaan jika berlaku situasi (dirogol) yang sama?” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Khamis lalu, episod akhir Nur 2 memaparkan adegan watak Juita yang dilakonkan Azar Azmi ditangkap polis atas tuduhan merogol Ustaz Adam lakonan Syafiq Kyle.

Babak tersebut mendapat perhatian seorang peguam Nor Zabetha yang mengemukan pendapatnya menerusi laman Facebook mengenai sistem perundangan semalam.

“Tidak pernah dalam sejarah Malaysia seorang wanita ditahan, disiasat atau didakwa kerana merogol seorang lelaki.

“Sepanjang 10 tahun saya beramal sebagai peguam tidak pernah saya mendengar kes ini. Babak Juita ditahan kerana merogol seorang lelaki itu adalah salah sama sekali,” katanya.

Zabetha juga menjelaskan bahawa watak dan jalan cerita mungkin boleh difiksyenkan tetapi undang-undang harus tepat kerana ia akan merosakkan fahaman orang awam.

Sementara itu, Shahrulezad mengakui hujah peguam itu.

“Saya tidak menyangkal sepatah huruf apa yang dikatakan, sebab itu saya tidak membidas kenyataan dia (Zabetha),” katanya.

Namun, tegas pemenang Pengarah Terbaik Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL 2019) itu, dia mahu episod akhir Nur 2 membuka mata rakyat agar lelaki juga diberi hak sama-rata.

Shahrulezad juga berkata dia tidak bercadang untuk merakam semula adegan berkenaan seperti yang dilakukannya pada babak yang mengandungi kesalahan bacaan al-Quran pada episod pertama drama rantaian itu.

“Tidak, sebab ini (adegan rogol) bukan kes (yang sama seperti adegan) kesalahan ayat al-Quran yang memang terang salah saya.

“Ini hanyalah sekadar undang-undang Malaysia yang saya rasa kita boleh berpendirian sebaliknya,” katanya.

Shahrulezad menambah, isu berhubung adegan rogol itu bakal diketengahkan jika dia berhasrat untuk melanjutkan drama rantaian Nur.

“Saya rasa ini satu isu menarik dan di luar jangkauan situasi sebenar.

“Kita timbulkan isu Adam (watak utama) menjadi mangsa rogol yang mencabar undang-undang Malaysia demi mendapat keadilan buat dirinya,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS