Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pengkarya di negara ini perlu diberi ruang untuk berlaku jujur selagi ia tidak menyebabkan malapetaka pada negara, kata Azizan Paiman, yang karyanya 'dikafankan' di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara sejak 17 April lalu.

Dalam seni karya, katanya, seseorang seniman itu boleh diibaratkan seperti radar yang membantu memberi pencerahan kepada masyarakat melalui mesej yang diketengahkan.

Justeru, kata Azizan, kreativiti seseorang seniman tidak wajar dimatikan kerana ia hanya akan memusnahkan naratif penting sesebuah karya yang disajikan kepada penonton.

Menjelaskan mengenai karyanya yang ditutup, Azizan berkata apa yang dilontarnya melalui naskhah itu adalah berpaksikan fakta yang sahih.

“Jika betul potret itu (dimatikan) kerana pemahaman atau pandangan daripada orang atasan, tatakelola permainan ruang yang saya rancangkan itu akan musnah nadinya.

"Seni instalasi adalah karya yang dibentuk berpaksikan pengolahan ruang secara kritikal pemahamannya,” katanya kepada Malaysiakini.

Azizan atau nama penuhnya Noor Azizan Rahman Paiman ialah salah seorang daripada 12 peserta yang dijemput bagi menjayakan pameran seni instalasi Pusaka: Warisan Pengemudi Wawasan.

Pameran tersebut dijadual berlangsung hingga 18 September depan.

Asalnya dah setuju

Karya Azizan diberi tajuk Menjejaki Kembali Kesah-Kesah Ekonomi Negara (MKKEN) sepatutnya menampilkan empat potret anggota Majlis Penasihat Kerajaan (CEP).

Tokoh tersebut adalah Zetty Akhtar Aziz, Robert Kuok, Hassan Merican dan Jomo Kwame Sundaram.

Mengiringi seni instalasi tersebut adalah 30 meja berserta teks.

Bagaimanapun pada saat-saat akhir sebahagian daripada instalasi Azizan didakwa tidak mendapat kelulusan untuk dipamerkan atas alasan ia mempunyai unsur politik.

Pada awalnya, kata Azizan, selepas persetujuan dicapai hanya 16 teks daripada 30 meja tidak boleh dipersembahkan kepada umum, dan tiada masalah pada imej lain termasuklah gambar keempat-empat tokoh CEP berkenaan.

Bagaimanapun - kurang 60 jam sebelum hari perasmian berlangsung - sekali lagi Azizan dimaklumkan oleh seorang pegawai lebih tinggi bahawa keempat-empat potret CEP tidak dapat dipamerkan.

Namun, Azizan menyangkal karya dipamerkannya itu mempunyai unsur seperti didakwa malah menegaskan keputusan yang dibuat itulah sebenarnya berlandaskan motif politik.

“Karya ini bukannya berbau politik tetapi mereka yang berkuasa, itulah pandangannya dilakukan kerana kepentingan politik.

“Jika fungsi galeri hanya untuk meperagakan objek seni dalam bentuk kosmetik, maka seniman itu sudah mati daripada menyantuni kisah-kisah penting negara” katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi pihak Muzium dan Galeri Seni Bank Negara melalui e-mel dan sedang menunggu untuk mendapatkan reaksi mereka.

Lihat Komen
ADS