Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nasi lemak Amaris hadiah Ramadan buat gelandangan

Sepanjang Ramadan, ramai artis mengambil kesempatan membuat kebajikan dengan melakukan pelbagai kerja amal.

Pelakon Putra Amaris tidak ketinggalan dengan membantu gelandangan di Masjid Jamek dan Bukit Bintang di Kuala Lumpur.

“Selepas warung saya tutup pukul dua pagi, mula pukul tiga pagi macam itu, saya akan mula mencari gelandangan.

“Saya bergerak sendiri dengan pekerja warung saya untuk beri mereka (gelandangan) nasi lemak,” katanya.

Pada pertengahan April lalu, pemilik nama penuh Muhammad Amran Ismail, 34, membuka warung di Jalan Alor Bukit Bintang di ibu kota.

Antara keistimewaan warungnya adalah dengan menyajikan nasi lemak dan teh tarik dengan harga semurah RM 2.50.

Putra yang ditemui di program Himpunan Artis Sayang al-Quran (Hasa 4.0) di Istana Budaya Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, dengan berbuat demikian dia sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang memerlukan.

“Selepas saya berikan makanan, mereka (gelandangan) akan datang ucapkan terima kasih.

“Saya jadi gembira dan sebak sebab kita selalu makan mewah terkadang sampai membazir,” katanya.

Tambah pelakon yang baru sahaja bergelar bapa itu, dia tersentuh melihat  nasib gelandangan.

“Terus-terang saya tidak kuat kalau saya berada di tempat mereka.

“Ada yang sampai bawa bayi sebesar anak saya tidur bergelimpangan di tepi jalan itu,” katanya.

Tolak bantuan

Pelakon drama Andainya Takdir 2 itu juga mengakui terdapat gelandangan yang menolak bantuannya.

Namun baginya, cara berkomunikasi sangat penting agar tidak menjatuhkan maruah pihak tersebut.

“Saya akan elak untuk gunakan perkataan sedekah apabila membantu.

“Sebaliknya saya akan memberitahu mereka (gelandangan) yang saya ada hadiah iaitu nasi lemak. Jadi mereka pun tidak menolak,” katanya.

Putra juga menyeru artis seni tanah air bersamanya dalam misi membantu orang gelandangan.

“Amaris harap ada artis ingin bantu buat kerja ini. Kita bantu mereka yang kelaparan.

“Mungkin dengan bantuan ramai artis, bukan sahaja makanan, mana tahu kita boleh beri mereka kerja sambilan untuk sara hidup," katanya.

Menurut Putra, selagi mampu, dia akan membantu walaupun bukan dari sumbangan wang ringgit tetapi dari kudratnya.

Pelakon itu boleh dikatakan sedikit sepi berbanding kemunculannya sekitar 2006, namun sebenarnya anak kelahiran Felda Ulu Tebrau, Johor ini masih lagi aktif dalam bidang seni lakon.

“Saya masih ada di dunia seni, jujurnya saya mendapat banyak tawaran di Indonesia dan Brunei.

“Malah sebuah filem lakonan saya juga akan keluar hujung tahun ini bertajuk Ratu Kala Jengking arahan A Aida.

“Tetapi sekarang saya kurangkan berlakon dan lebih fokus dengan keluarga,” katanya.

Lihat Komen
ADS