Paling Popular
Terkini

"Ini mungkin album Langsuir yang terakhir."

Itu pembuka bicara Ibrisam Akbar di sesi pradengar album mini Langsuir baru-baru ini.

Ibrisam antara pengasas dan penggerak utama, juga gitaris kumpulan ini sejak penubuhannya pada tahun 1991 di Ipoh, Perak bersama-sama dua orang adik beradik, Azlanthor (penyanyi utama) dan Azmaniac (gitaris).

Selain itu, dia juga bertindak sebagai salah seorang penggubah lagu dan juga penulis hampir keseluruhan lirik-liriknya.

"Tiada lagu-lagu baru yang saya buat sejak sepuluh tahun lalu.

"Ini semua merupakan lagu-lagu lama yang belum dikeluarkan,” terangnya menjawab persoalan tentang polemik album terakhir tadi.

Ibrisam atau kami kenali sebagai Sam (nama pentas Batara Guru / Bentara) menjelaskan sejak 2009, dia tidak lagi menghasilkan lagu-lagu baru.

Lagu-lagu dalam album baru ini sebahagiannya daripada album Bullet, iaitu album yang sepatutnya menjadi album kedua mereka selepas Asyik.

Malangnya album yang dirakam tahun 2008 itu tidak dapat dikeluarkan di atas sebab-sebab tertentu.

Sebahagiannya pula adalah lagu-lagu lama, juga terdapat lagu-lagu daripada projek one-man band beliau iaitu Bentara.

Pradengar album mini ini yang bertajuk Cemar dibuat pada 27 April di ibu pejabat Legion Music (Legion) di Shah Alam.

Legion merupakan sebuah label baharu yang menaungi Langsuir. Sebelum ini, mereka pernah bernaung bawah label Clockwork Records dan Nebiula Production.

Album ini keseluruhannya dirakam di Masterplan Recording Chamber iaitu studio yang terletak di Bandung, Indonesia pada bulan Februari lalu.

Hanya beberapa tambahan akhir untuk gitar dan vokal dilakukan di Kuala Lumpur. Adunan dan proses mastering pula dilakukan di studio sama di Bandung.

Beberapa teman yang sudah memiliki Cemar bersetuju yang produksi kali ini sangat sedap dan padat.

 Ketelitian mereka menghasilkan lagu-lagu tidak perlu dipertikaikan dalam menjelmakan bentuk muzik Malay Occult Death Metal yang mereka ketengahkan. 

(Tema Malay occult atau alam ghaib Melayu menjadi tunjang penceritaan kumpulan ini sejak ditubuhkan 28 tahun yang lalu.)

Untuk album kali ini, selain dua anggota asal iaitu Batara Guru dan Azlanthor, mereka diperkuatkan lagi oleh tiga anggota baru terdiri daripada Mirlanast (gitaris), Burning Twilight (pemain dram) dan Sakkaeuronous (gitar bass).

Apa yang membanggakan cetakan pertama CD untuk album mini tersebut telah habis dijual dalam tempoh 24 jam selepas majlis pradengar tersebut.

Album penuh mereka bertajuk Dirgha Belasungkawa bakal dilancarkan pada 26 Julai ini bersempena penganjuran konsert The Gathering untuk tahun yang kedua.


ZULKIFLI RAMLI ialah seorang pemerhati seni dan budaya. Dia merupakan pemain gambus dan pengasas kumpulan muzik, Dewangga Sakti.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS