Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Penderitaan dialami penduduk Sudan sering mengingatkan pelakon Anita Baharom supaya sentiasa bersyukur kerana dilahirkan di negara yang kekal harmoni.

Pengalaman beberapa kali menjejakkan kaki di negara bergolak yang terletak di Timur Laut Afrika itu, kata Anita, menyedarkan dirinya untuk menghargai perpaduan yang terbina di sini.

“Tolong hargai apa yang kita ada, jangan asyik bergaduh hal-hal bodoh. Sayangilah negara kita,” katanya.

Anita yang ditemui selepas program Himpunan Artis Sayang al-Quran (Hasa 4.0) di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini menceritakan pengalamannya ketika menyertai misi amal Qurban Aqiqah di Bumi Afrika di Sudan.

Dia turut berkongsi pengalaman sewaktu pertama kali menjejakkan kaki ke negara termiskin dunia itu.

Kata aktres itu, dia pernah berasa tidak sabar untuk meninggalkan negara berkenaan. Selain kerana dilanda krisis politik, dia juga tidak sanggup hidup dalam kedaifan walau untuk seketika.

"Pergi sana stesen petrol ala kadar.

"Kalau boleh tak sanggup untuk menetap di sana jika diberi peluang pun. Tapi apa yang dilalui ketika itu hanya apabila pertama kali ke sana dan sekiranya ada rezeki saya nak pergi lagi,” katanya.

Lupa derita sendiri

Anita ditugaskan sebagai wakil Yayasan Amal ke sana menjalankan amanah rakyat Malaysia seperti aqiqah, korban dan al-Quran untuk diwakafkan.

Sebagai sebuah negara pesat membangun, kata Anita, rakyat Malaysia tidak wajar merungut sekiranya terpaksa mengalami sedikit masalah atau kekurangan.

Selain Sudan, Anita turut menjalankan aktiviti kebajikan bersama Yayasan Amal melawat masyarakat miskin di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Pelakon drama Dunia Baru itu berkata, selain berbakti, tujuan lain dia terbabit dalam kerja amal adalah untuk mencari ketenangan dan melupakan masalah kesihatan dialaminya.

“Saya bukan saja dapat merasai sendiri pengalaman bagaimana orang hidup susah tanpa elektrik di sana.

“Mandi pun bercatu, kadang-kadang tak mandi langsung sehari sampai melekit-lekit," katanya.

Anita ketika diwawancara mendedahkan dia sebenarnya menghidapi sejenis penyakit dikenali Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) atau Lupus.

Penyakit itu yang dikesan sejak beberapa tahun lalu sering menyebabkan dia lemah dan tidak boleh berada dalam keadaan tertekan.

Bagaimanapun, katanya, segala urusan ketika terbabit menjalankan kerja amal dipermudahkan.

“Alhamdulillah, apabila membantu mereka yang susah, saya lupa saya mengidap SLE,” katanya.

Lihat Komen
ADS