Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Industri muzik kreatif dilihat masih gagal menangani isu royalti dan kebajian penggiatnya dengan baik ekoran mereka bergerak melalui persatuan berlainan.

Untuk menangani kekangan itu, Majlis Senator Malaysia berpendapat industri muzik perlu berada di bawah naungan sebuah badan berautoriti seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Timbalan presidennya, Razali Idris, berkata melalui cara itu pelbagai masalah yang dihadapi penggiat muzik dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Kata Razali komitmen untuk menggabungkan industri muzik di bawah Finas bertujuan memperkasakan lagi bidang berkenaan dan pada masa sama menjaga kebajikan pihak yang terbabit.

“Hasil perbincangan, Finas amat terbuka untuk menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Muzik Kebangsaan (Pemuzik) di bawah kendaliannya.

“Ini menandakan bermulanya satu agenda baru untuk industri muzik dan memang diimpikan pengamalnya sejak lama dulu," katanya ketika ditemui di kompleks Finas, Hulu Kelang baru-baru ini.

Turut hadir, Presiden Karyawan, Freddie Fernandez; penyanyi popular Aishah dan Ito Mohd; serta pemain bass kumpulan Search, Nasir Daud.

Pertemuan eksklusif itu diadakan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, bertujuan membincangkan potensi hala tuju industri muzik jika dikawal selia Finas.

Razali (depan, empat dari kiri) bersama Ahmad Idham dan penggiat lain di Hulu Kelang baru-baru ini

Razali bertindak selaku 'suara' untuk golongan artis agar diperdengarkan kepada Finas dan Dewan Negara.

Menurut pandangan Razali, martabat industri muzik negara boleh diangkat ke tahap yang lebih tinggi melalui pembentukan jawatankuasa itu, selaras dengan sektor lain seperti perfileman.

“Kalau kita tengok, industri muzik tempatan masih ketinggalan jauh dari pelbagai sudut,” katanya.

Gubal akta baru

Bercakap soal royalti, kata Razali, ketika ini Finas dianggap agensi yang mampu memberi sokongan dan perlindungan terbaik kepada setiap karyawan muzik.

Ketika ini, kata Razali, beliau difahamkan badan pengutip royalti sedia ada dilihat tidak berupaya menyelesaikan banyak isu berkaitan tuntutan pemuzik.

Malah kata Razali beliau juga difahamkan ada badan pengutip royalti terpaksa membekukan hasil kutipan mereka - sebanyak lebih RM16 juta - ekoran beberapa isu yang timbul.

"Pemuzik inginkan hak, tetapi mereka memerlukan sebuah jentera lebih besar untuk berjuang bersama, selain hanya berharap kepada persatuan atau badan seperti sebelum ini.

“Dalam soal ini, perlu ada campur tangan terutama berkaitan dasar-dasar kerajaan jika golongan pemuzik ini mahu dibantu.

“Saya rasakan lebih baik kita bersama Finas dan gubal akta bagi membantu menguruskan tugas-tugas tertentu,” katanya.

Untuk nota, konsensus bersama antara Razali, Ahmad Idham dan wakil artis itu akan diketengahkan kemudian kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Razali menjangkakan dengan adanya penggabungan tersebut, hasil titik peluh penggiat seni suara dapat dikembalikan kepada pemiliknya.

“Saya jangka ia dapat kembalikan.

“Ketika ini titik peluh pengamal industri kita masih dirompak pihak tidak bertanggungjawab.

“Apa cuba dilakukan di sini adalah usaha untuk mengembalikan setiap hasil titik peluh mereka dengan adanya majlis seperti Pemuzik,” katanya.

Lihat Komen
ADS