Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jadi saudara baru, Michael Ang bersyukur terima sokongan

Walaupun sudah lebih setahun mengucap syahadah, pengarah terkenal Michael Ang yang masih mendalami Islam bersyukur kerana perubahannya diterima secara meluas, dan pada masa sama mendapat sokongan daripada masyarakat sekeliling.

Lebih menyentuh hati, kata Michael, apabila jemaah masjid yang sering dikunjunginya sentiasa sudi membantu dia memulakan kehidupan sebagai saudara baru.

Menurutnya, dengan keikhlasan yang dipamerkan itu, dia mengetahui tiada umat Muslim menghakimi dirinya yang sedang berusaha mempelajari Islam dengan sebaik mungkin.

“Saya berterima kasih kepada mereka. Mereka bukan terdiri daripada peminat, sebaliknya jemaah di sebuah masjid di Bandar Manjalara.

“Ada yang berikan al-Quran, buku panduan solat serta sejadah elektronik dilengkapi audio.

"Mereka juga kata: tak apa, belajarlah perlahan-lahan,” katanya ketika ditemui pada majlis program Raya Astro di Kuala Lumpur baru-baru ini.

April lalu, pengarah filem Kimchi Untuk Awak itu membuat pengakuan sudah memeluk Islam pada tahun lalu namun hanya mengumumkannya baru-baru ini.

Tahu apa boleh, apa tidak

Kata Michael dia berbuat demikian kerana enggan masyarakat terus membuat spekulasi sekiranya ternampak dia menunaikan solat di masjid.

Sebelum itu Michael menimbulkan tanda tanya apabila dilihat mula belajar berpuasa pada Ramadan tahun lalu.

Berkongsi kisah bagaimana hatinya terbuka memeluk Islam, Michael yang juga terkenal sebagai pengarah drama Suri Hati Mr Pilot itu berkata, perjalanannya untuk mencari kebenaran bermula sejak dia berusia 14 tahun.

“Saya baca semua buku agama dan kitab termasuk al-Quran sampai habis.

“Selain itu saya sering berdoa kepada Tuhan yang ketika itu saya gelarkan Yang Satu supaya diberikan petunjuk. Selepas itu, saya bermimpi,” katanya.

Tambahnya lagi, selepas bermimpi, dia memindahkan pengalaman itu menjadi skrip untuk telefilem Lima Waktu yang ditayangkan di Astro Oasis.

Ditanya mengenai sambutan Aidilfitri, Michael menjelaskan dia teruja kerana kali ini ia sedikit berbeza buatnya kerana ‘bebas’ untuk menunaikan solat hari raya bersama-sama orang lain.

“Tahun lalu saya pergi selepas semua jemaah sudah balik,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai perancangannya meraikan Aidilfitri, Michael berkata, dia bercadang untuk menyambutnya di rumah ibunya yang masih menganut Buddha.

“Ibu saya tahu apa yang boleh atau tidak, dia sudah beli perkakas memasak yang baru untuk saya,” katanya.

Lihat Komen
ADS